top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Pindah segera jika diarahkan – PM

22 Disember 2021

BERA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan penduduk di kawasan yang dilanda banjir supaya berpindah jika diarahkan pihak berkuasa berbuat demikian.


Beliau berkata perintah pemindahan dikeluarkan atas faktor keselamatan kerana pihak berkuasa boleh meramalkan kemungkinan bahaya berdasarkan ramalan cuaca.


“Kami juga bimbang banjir gelombang kedua boleh berlaku. Lebih baik anda berpindah jika diminta. Saya ada berjumpa mangsa yang mengatakan tidak menyangka air banjir naik secara tiba-tiba,” katanya.


Beliau juga berkata bagi mengelak kejadian tidak diingini, negeri-negeri yang tidak biasa mengendalikan banjir perlu membuat persiapan yang sewajarnya sebaik Jabatan Meteorologi mengeluarkan ramalan cuaca buruk.


Perdana Menteri berkata demikian kepada media selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan (PPS) Sekolah Kebangsaan Sri Buntar yang menempatkan 145 mangsa setakat Selasa.


Dalam pada itu, Perdana Menteri telah meminta pihak berkuasa mempercepatkan pembayaran bantuan RM1,000 kepada keluarga yang terjejas akibat banjir besar di beberapa negeri.

bottom of page