PKP 3.0: Anak seni terjejas teruk, 70 peratus hilang punca pendapatan
24 Jun 2021
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan buat kali ketiga menyebabkan ramai terjejas, termasuk pelukis, pemuzik dan lain-lain penggiat industri kreatif.
Ada yang hilang semua pendapatan, malah ada juga yang terpaksa melakukan dua atau tiga kerja demi meneruskan kelangsungan hidup.
Tinjauan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana) mendapati, kira-kira 93 peratus daripada mereka menerima kesan negatif akibat PKP dan 70 peratus daripadanya hilang punca pendapatan.
Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd Sallehuddin berkata, pihaknya melancarkan Bandar Aktiviti Seni Kuala Lumpur (BASKL) sebagai inisiatif untuk membantu anak seni.
“Antara usaha terbaru kami adalah bantuan makanan untuk artis yang diusahakan dengan Yayasan Sime Darby. Usaha ini fokus kepada golongan kru teknikal, pasukan produksi.
“Kita tidak lupa kepada pemuzik jalanan, penyanyi veteran yang tidak dapat buat persembahan tatkala PKP pertama. Biasanya mereka membuat persembahan dari gig ke gig, tapi sekarang dah terkesan.
“Jadi kita menyalurkan bantuan makanan ini melalui Yayasan Sime Darby,” katanya kepada Astro AWANI.
Buat masa ini, kata Izan Satrina, bantuan tersebut hanya untuk anak seni di Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang, namun pihaknya merancang meluaskannya hingga ke Sabah, Sarawak dan Pantai Timur.
Dalam pada itu, beliau berharap masyarakat memberi sokongan kepada penggiat seni terutamanya mereka yang kini banyak mengunakan platform media sosial untuk menjana pendapatan.
“Penggiat seni pun usaha pelbagai cara. Mereka bukan saja buat persembahan (secara dalam talian), ada juga buat dua tiga kerja lain. Ada yang buat kuih, jual nasi lemak dalam talian, ada yang jadi pemandu Grab untuk survive.
“Saya merayu kepada khalayak ramai, kalau ada yang sudi bantu dan kerjasama, pinjamkan masa dan sumber anda untuk bantu mereka,” ujarnya.
Katanya lagi, antara platform yang membantu ke arah tersebut ialah Musicians For Musicians Malaysia yang menyediakan platform media sosial buat anak seni merakamkan bakat mereka dan menjana pendapatan.
-Awani
Comments