top of page
  • newsatmy

PKR perlu bersedia hadapi PRU15 jika UMNO tinggalkan PN

5 April 2021

KUALA LUMPUR: PKR perlu bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhadapan ancaman UMNO menarik balik sokongan.


Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, gabungan parti kerajaan PN itu boleh tumbang pada bila-bila masa selepas darurat berakhir Ogos ini.


“Setiap hari, ada saja krisis yang mempengaruhi PN, UMNO boleh menarik diri (daripada kerajaan) bila-bila masa.


“Sejauh mana kerajaan stabil?” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan PKR Bahagian Lembah Pantai di sebuah hotel di sini pada Ahad.


Mengulas lanjut, Fahmi berkata, walaupun perpecahan antara Bersatu dan UMNO adalah 'masalah dalaman', tetapi parti lain boleh belajar daripadanya bagi mengelakkan perkara sama berulang.


“Ketika mereka merampas kuasa (daripada Pakatan Harapan), mereka bercakap tentang keikhlasan, tetapi itu masalah terbesar mereka sekarang," katanya dilaporkan portal itu lagi.


Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, PKR akan lebih menumpukan perhatian kepada kerusi dipegang Ahli Parlimennya yang melompat ke parti lain.


“Kami akan meletakkan calon boleh menang untuk memperkuat parti," katanya.


PKR yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memenangi 48 kerusi Parlimen pada PRU14, tetapi kini hanya memiliki 35 kerusi selepas beberapa wakil rakyatnya melompat parti.


Fahmi berkata, Anwar sedang berusaha mengukuhkan parti itu dengan mengunjungi cawangan, selain menerima kemasukan ahli baharu termasuk golongan selebriti seperti Hans Isaac dan Afdlin Shauki.


Mengenai laporan parti Sabah yang mesra PH iaitu Warisan, yang berhasrat bertanding di Semenanjung, beliau berkata, mereka akan membincangkan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen PH terlebih dahulu.


Sementara itu, terdahulu, bekas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ketika berucap di mesyuarat agung itu, diminta media untuk mengesahkan spekulasi beliau akan bertanding di kerusi Permatang Pauh yang kini dipegang anaknya, Nurul Izzah Anwar.


Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pandan yang memenangi kerusi itu pada PRU14 berkata, terpulang kepada parti untuk memutuskan calon yang sesuai.


- Astro Awani

bottom of page