• newsatmy

PM lancar Dasar Perpaduan dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030

15 Februari 2021

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Dasar Perpaduan Negara Dan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021-2030 hari ini.


Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2030 dihasilkan bagi menyokong strategi-strategi dalam Dasar Perpaduan Negara serta menetapkan aspirasi perpaduan yang ingin dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang.


Dalam masa sama, katanya, penggubalan Dasar Perpaduan Negara adalah berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.


"Dasar Perpaduan Negara adalah selaras dengan dasar-dasar utama negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, Rancangan Malaysia Lima Tahun dan dasar-dasar lain yang berkuat kuasa.


"Rakyat Malaysia sejak sekian lama berpegang kepada Rukun Negara. Kita percaya kepada Tuhan, kita setia kepada Raja dan negara, kita junjung keluhuran perlembagaan, kita hormati kedaulatan undang-undang dan kita sentiasa bersopan dan bertatasusila dalam pergaulan kita seharian.


"Tidak kiralah sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Melanau, orang asal atau mana-mana etnik sekalipun, bergelar warganegara Malaysia, maka inilah ciri-ciri yang wajib kita hayati," katanya.


Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Dasar Perpaduan dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2030-2030 secara maya menerusi Facebook Kementerian Perpaduan Negara.


Muhyiddin menegaskan, kerajaan amat menyedari akan hakikat bahawa perpaduan adalah tunjang kemakmuran negara.


Justeru, ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ (unity in diversity) yang berteraskan ‘model integrasi’ tersebut dihasratkan untuk rakyat Malaysia.


"Ini kerana berdasarkan sejarah, kita rakyat Malaysia telah menerima hakikat bahawa masyarakat negara ini adalah majmuk dan pelbagai latar belakang pegangan agama, pengenalan bangsa dan budaya.


"Oleh kerana perbezaan dan kepelbagaian ini, maka usaha ke arah mewujudkan perpaduan di negara ini perlu dilengkapi dan dilandasi usaha integrasi berterusan," katanya lagi.


Menyedari hakikat tersebut, Dasar Perpaduan Negara berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian, telah menetapkan strategi jangka panjang yang menggariskan usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat.


Tiga objektif utama yang ditetapkan dalam dasar ini iaitu pertama, mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, kedua, membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling hormat-menghormati dan bertanggungjawab; dan ketiga melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.


Bagi memastikan objektif ini tercapai, sokongan padu dan kerjasama penuh daripada semua pihak terutamanya agen penggerak perpaduan yang terdiri daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta dan pemegang taruh berkaitan adalah sangat penting.


"Saya ingin tekankan bahawa Dasar Perpaduan Negara ini adalah dasar kita bersama. Kita semua adalah agen perpaduan negara. Kita yang akan membawa aspirasi ini ke hadapan.

"Marilah kita menggerakkan seluruh kekuatan dan kudrat kita untuk terus menyebarkan semangat perpaduan dalam keadaan yang amat mencabar pada masa ini," ujarnya.


Dalam pada itu katanya, perpaduan rakyat Malaysia dapat dilihat dengan jelas apabila dijelmakan dalam keadaan sebenar ketika negara dilanda cabaran dan musibah.


"Di kala negara masih berdepan dengan gelombang COVID-19, kita telah saksikan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.


"Berbekalkan slogan #KitaJagaKita, rakyat bersama-sama bersatu membantu kerajaan dalam menyebarkan mesej yang positif, menyokong usaha Perintah Kawalan Pergerakan dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan," tambahnya lagi.


Dalam tempoh negara berdepan dengan wabak COVID-19 ini, Muhyiddin berkata, beliau sedar ramai kalangan rakyat Malaysia telah menunjukkan sifat empati antara satu sama lain.


"Kita saksikan ramai rakyat Malaysia menzahirkan merupakan keupayaan individu atau kumpulan untuk memahami sentimen, aspirasi, kebimbangan, cita-cita, individu atau kumpulan yang lain.


"Dalam krisis COVID-19, rakyat Malaysia khususnya petugas di barisan hadapan atau frontliners telah membuktikan sifat empati terhadap satu sama lain tanpa mengira kaum atau agama.


Justeru, sifat empati itu harus diperkukuhkan dalam masyarakat dan membantu usaha negara mengatasi cabaran perkauman dengan lebih berkesan. - Astro Awani

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.