• newsatmy

PM Muhyiddin dalam rangka lawatan kerja ke Sabah hari ini

21 Mac 2021

KOTA KINABALU: Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan kerja ke Sabah hari ini.


Ia lawatan julung kali Muhyiddin ke Negeri di Bawah Bayu itu selepas kerajaan baharu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih tampuk pentadbiran.


Beliau yang dijangka tiba di Kota Kinabalu jam 6 petang ini difahamkan akan mengadakan pertemuan dengan para pemimpin GRS di sebuah majlis makan malam kira-kira sejam kemudian.


Acara tersebut akan dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri seperti Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Seri Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Joachim Gunsalam serta pemimpin-pemimpin setempat.


Berdasarkan atur cara yang diberikan pihak Jabatan Ketua Menteri (JKM) Sabah hari ini, Perdana Menteri dijangka bertemu dengan pemimpin-pemimpin GRS di Magellan Sutera Harbour, Kota Kinabalu.


PM ke Sabah | Lawatan PM perlihat dinamika kepada pembangunan Sabah.


Pada 22 Mac, Muhyiddin akan meneruskan aktiviti lawatan kerja rasminya di Sabah dengan sesi townhall 'Makmur Bersama Sabah' di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pada jam 9 pagi.


Seusai acara, beliau dijangka mengadakan lawatan ke Pusat Vaksinasi COVID-19 Daerah Kota Kinabalu pada jam 11 pagi sebelum mengadakan kunjungan hormat ke Istana Negeri untuk mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.


Satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Inisiatif Pelaburan Asing/Domestik dan pelancaran Projek Pembangunan Lok Kawi Resort akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada sebelah petang.


Perdana Menteri dijangka mengakhiri siri lawatan rasmi dua harinya di Sabah dengan menghadiri program Ziarah Perihatin di kawasan Tanjung Aru, Kota Kinabalu sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur kira-kira jam 5 petang. - AA