top of page
  • newsatmy

PM Muhyiddin sertai solat hajat sempena 1 tahun Perikatan Nasional

1 Mac 2021

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin pada Ahad (28 Feb) menyertai solat hajat sempena setahun pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional di Masjid Putra di Putrajaya.


Beliau disertai beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaacob, Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.


Turut serta Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.


Solat hajat anjuran Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) itu disempurnakan selepas solat Maghrib dengan disertai lebih 200 jemaah yang diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah.


PM Muhyiddin bersama para jemaah kemudian membaca surah Yasin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin Imam Sudais Malaysia, Ustaz Syukri Ali.


Para jemaah kemudian mengalunkan gema selawat yang dipimpin Ustaz Syukri bersama Imam Besar Masjid Putra Ikmal Zaidi Mohd Hashim.


PM Muhyiddin meninggalkan Masjid Putra pada kira-kira 9.10 malam selepas menunaikan solat Isyak.


- BERNAMA

bottom of page