• newsatmy

PM yakin skuad Harimau Malaya mampu cipta kejutan di kelayakan Piala Dunia, Piala Asia

20 Mei 2021

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yakin skuad Harimau Malaya mempunyai ramuan rahsia dan mampu mencipta kejutan untuk menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand, dalam baki perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 serta Piala Asia 2023, awal bulan depan.


Sebagai peminat bola sepak tanah air, Muhyiddin turut mengucapkan selamat berangkat dan berjuang kepada anak buah jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe yang akan berlepas ke Dubai, esok bagi memulakan persiapan dan latihan sebelum saingan sebenar bermula 3 Jun ini.


“Saya yakin skuad kebangsaan memiliki segala kebolehan dan ramuan untuk melakar kejayaan pada baki saingan menentang UAE, Vietnam dan Thailand yang diadakan secara berpusat di Dubai nanti,” katanya dalam kenyataan.


Katanya, seluruh rakyat Malaysia mengharapkan pasukan Harimau Malaya mampu mengaum megah dan melakar sejarah.


Muhyiddin turut mengingatkan semua pemain negara untuk menjaga diri ketika beraksi, selain menjaga kesihatan serta keselamatan masing-masing.


“Semoga Jalur Gemilang berkibar megah dan anda semua kembali ke tanah air dengan selamat. Ayuh Harimau Malaya.

Berjuanglah demi Malaysia.”


Malaysia akan bertemu UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada 3 Jun, diikuti Vietnam dan Thailand di Stadium Al Maktoum pada 11 dan 15 Jun nanti.


-FMT