top of page
  • newsatmy

PMB Investment sasar RM50 juta dana

19 Mac 2021 KUALA LUMPUR: PMB Investment Berhad menyasarkan mengumpul dana RM50 juta sehingga akhir 2022 melalui Dana Pendapatan Wakaf An-Nur yang dilancarkan semalam.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahani Ibrahim berkata, sasaran itu berdasarkan sambutan memberangsangkan dana tersebut pada hari pelancarannya yang telah berjaya mengumpul lebih RM7 juta daripada pelabur korporat dan runcit.


Kata beliau, keseluruhan dana yang diuruskan PMB Investment ketika ini berjumlah RM1.45 bilion dan jangkaan dana yang dapat dikumpul sehingga akhir tahun ini dengan pelancaran Dana Pendapatan Wakaf An-Nur dan dua lagi dana lain kelak adalah sebanyak RM1.7 bilion.

Dana Pendapatan Wakaf An-Nur merupakan dana ke-17 PMB Investment.


Ia ditawarkan pada harga RM0.50 seunit dan turut menawarkan perlindungan takaful percuma kepada pelabur yang layak dengan setiap pelaburan RM1,000 melayakkan pelabur mendapat perlindungan dengan nilai maksimum RM200,000.


Pelaburan minimum untuk pelabur runcit ialah RM100 dan RM10,000 untuk pelabur korporat atau institusi.


Menurut Mahani, pihaknya berusaha mewujudkan dana yang dapat membantu pelabur menyumbang kepada golongan kurang bernasib baik dan memerlukan, di samping keuntungan daripada pelaburan terus giat dijalankan.


“Tambahan pula, sebagai umat Islam, kita seharusnya mencari jalan untuk memudahkan agihan kekayaan yang seimbang dalam masyarakat kerana hak dan kebajikan golongan miskin dan yang memerlukan dapat dibela serta dipelihara selaras dengan ajaran Islam yang menganjurkan konsep persaudaraan dan keadilan ekonomi,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Dana Pendapatan Wakaf An-Nur di Hotel Sunway Putra, dekat sini semalam.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azhar Abdul Manaf; Pengerusi Pelaburan Mara Berhad (PMB) dan Pengerusi Waqaf An-Nur Corporation (Wancorp), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.


Mahani berkata, PMB Investment menawarkan tiga cadangan nilai dana untuk dana tersebut, iaitu penjanaan pulangan, perlindungan harta dan amal jariah. – UTUSAN

bottom of page