top of page
  • newsatmy

PN ada calon MB jika menang tawan Pahang PRU15


ROMPIN, 20 Ogos – Perikatan Nasional (PN) Pahang sudah ada calon Menteri Besar untuk mentadbir negeri Pahang, jika keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memihak kepada mereka.


Pengerusi PN Negeri Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata walaupun terlalu awal untuk diumumkan, namun beliau menzahirkan kesepakatan antara BERSATU, PAS dan Gerakan dalam soal agihan kerusi berjalan dengan lancar.

“PN tawan Pahang, sesuatu yang boleh kita capai. Kita sudah bincang di peringkat kepimpinan, BERSATU, PAS, Gerakan.

“Soal agihan kerusi, soal penilaian kekuatan siapa yang akan bertanding lebih banyak kerusi DUN, siapa yang akan bertanding tak sebanyak itu dalam DUN. Kita dah tahu.

“Sebenarnya, kalau diizinkan kita jadi kerajaan negeri Pahang, calon MB Pahang dah ada dah, tapi bukan saya. Saya nak tunjukkan bahawa antara kita dalam PN Pahang, tak ada masalah langsung dalam agihan kerusi.

“Terlalu awal untuk diberitahu, belum sampai masanya. Ini komitmen bersama pimpinan BERSATU, PAS dan Gerakan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Himpunan Perikatan Nasional Parlimen Rompin 2022 di Bandar Tun Razak, di sini, malam tadi.


Hadir sama, Yang Dipertua PAS Kawasan Rompin, Ustaz Nazri Ahmad dan Ketua Penerangan PN Pahang, Datuk Abdul Khalib Abdullah.


Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh menasihatkan agar semua jentera mula bekerja dengan mendekati pengundi bermula sekarang.

“Kepada semua, pastikan jawatankuasa dan jentera pilihan raya mula bekerja.

“Pastikan semua dekati pengundi baru dan pengundi 18 tahun ke atas.

“Saya yakin dengan semangat yang ditunjukkan, kita boleh menang tawan Pahang,” katanya.

bottom of page