top of page
  • newsatmy

PN calonkan bekas Ahli Parlimen UMNO sebagai Speaker Parlimen


KUALA LUMPUR 14 DIS;Perikatan Nasional (PN) mencalonkan Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad sebagai calon Speaker Dewan Rakyat daripada gabungan itu.


Perkara itu didedahkan ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menjelang pemilihan Speaker Parlimen yang dijadualkan pada 19 Disember ini.


“Kami telah menamakan Tan Sri Radzi (sebagai calon speaker),” kata Wan Fayshal, yang juga Ketua ARMADA Bersatu, dalam wawancara radio dengan radio BFM hari ini (13 Disember 2022).


Sebelum ini Mohd Radzi pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen Kangar selepas memenangi pilihan raya 1982, 1986, 2004 dan 2008.


Ahli Bersatu itu juga pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen Langkawi selepas menang dalam pilihan raya 1995 dan kini menjadi senator di Dewan Negara.


Sementara itu, ditanya mengenai undi percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Wan Fayhsal berkata, beliau lebih berminat untuk melihat keputusan pengundian untuk jawatan Speaker.


Parlimen akan bersidang semula pada 19 Disember dengan antara agenda yang dijangka adalah undi percaya terhadap Anwar serta pelantikan Speaker Parlimen.


Pengundian akan diadakan memandangkan lebih daripada seorang individu dicalonkan untuk menjadi speaker.


Pakatan Harapan (PH) dijangka mencalonkan Ahli Parlimen Lanang dari DAP, Alice Lau, yang juga ahli jawatankuasa pusat (CEC) DAP, sebagai calon timbalan speaker Dewan Rakyat, manakala PN sebelum ini masih ragu-ragu terhadap calon pilihan mereka.


Minggu lalu, bekas ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul mengesahkan namanya antara calon yang dicadangkan sebagai speaker Dewan Rakyat oleh PH.


Spekulasi bertiup kencang bahawa Johari akan menjadi Speaker Dewan Rakyat yang baharu selepas Tan Sri Azhar Azizan Harun berundur daripada jawatan itu pada 18 Disember mengikut Perlembagaan Persekutuan.


Bagaimanapun, pengundian jawatan Speaker itu juga bakal menunjukkan sama ada kerajaan PH-UMNO pimpinan Anwar akan mendapat sokongan ahli Parlimen atau tidak, sekali gus menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

bottom of page