top of page
  • StrangePlay

PN gabung tiga jentera parti - Dr Yadzil

3 November 2021

BEMBAN: Perikatan Nasional (PN) akan menggabungkan jentera daripada tiga parti komponen bagi menggerakkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.


Pengarah Pilihan Raya PN negeri, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, persetujuan untuk gabungan tiga jentera parti Bersatu, Gerakan dan PAS itu dicapai selepas PAS memberi kenyataan jelas untuk kekal di bawah PN kelmarin.


Beliau yang juga Naib Pengerusi PN Melaka berkata, di peringkat awal gerak kerja di bawah PN adalah persiapan dari parti masing-masing.


“Setelah pihak PAS memberi kenyataan yang jelas tentang penggunaan logo di bawah PN, selepas ini kita akan gabungkan jentera-jentera daripada tiga parti dalam PN dengan lebih mudah.


“Diperingkat awal ini adalah persiapan dari parti masing-masing, kita akan ‘merge’ jentera serta mengikut persetujuan yang mana kerusi-kerusi yang ditandingi oleh pihak PAS, jentera di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu akan diketuai pihak PAS, manakala kerusi ditandingi Bersatu akan diketuai dari Bersatu dan kawasan ditandingi Gerakan akan diketuai oleh Gerakan,” katanya kepada media hari ini.


Mengulas lanjut, Dr Yadzil yang juga Ketua Bahagian Bersatu Jasin turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengeluarkan segera prosedur standard operasi (SOP) PRN Melaka 20 Nov depan.


Katanya, hal ini bagi memudahkan parti untuk membuat persiapan kempen kepada rakyat kerana rakyat perlu jelas dan tahu calon-calon yang perlu mereka pilih semasa membuang undi nanti.


bottom of page