top of page
  • newsatmy

PN Sedia Tanding Semua Kerusi Jika UMNO Terus Berkeras - Muhyiddin

28 Mac 2021

Perikatan Nasional (PN) bersedia untuk bertanding di semua kawasan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), jika UMNO terus berkeras dan tidak mahu bertolak ansur berhubung pengagihan kerusi, demikian tegas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), jika berlaku situasi tersebut, beliau tidak kisah sama ada akan berlaku pertembungan banyak penjuru pada Pilihanraya Umum Ke 15 nanti kerana itu adalah politik.


“PN tidak mempunyai halangan sekiranya UMNO memutuskan untuk tidak mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU-15. Lebih baik UMNO ambil semua 222 kerusi Parlimen, jika menang bentuk kerajaan, tidak mengapalah.


“Namun jika UMNO mahu ambil semua, PN pun akan ambil semua. Satu lawan satu pun boleh, satu lawan dua pun boleh, satu lawan tiga pun boleh sebab ini politik,”tegasnya.


Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian ketika mengulas ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengatakan semua kerusi UMNO adalah milik parti itu, malah tidak akan sesekali dilepaskan dan UMNO tidak akan mengalah serta memperjudikan mana-mana kerusi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.


Kata Muhyiddin lagi, beliau bukan tidak mahu berdebat dan berbincang soal pembahagian kerusi secara terbuka, sebaliknya lebih memberi keutamaan kepada hal rakyat terutama dalam soal keperluan asas dan ekonomi di kala pandemik COVID-19 ini.


“Bukan saya tidak boleh berpolitik, bukan saya tak boleh berbahas. Sebahagian kehidupan saya merupakan politik. Saya boleh berbahas dengan sesiapa sahaja, namun itu saya elakkan.


“Saya elak berbahas tentang politik bukan saya takut tetapi kerana kini rakyat dalam keadaan resah, hidup susah, nak makan tiada duit, makan tidak cukup untuk alas perut. Saya tak tahu kenapa parti politik tak prihatin. Ada masalah lain yang perlu diberikan keutamaan.


“Soal pertama yang menjadi keutamaan kerajaan ketika ini ialah menguruskan masalah Covid-19. Soal kedua pula pemberian vaksinasi yang cukup penting dalam menentukan rakyat selamat dan sihat. Seterusnya soal ketiga pula ialah ekonomi,”ujarnya.

bottom of page