• newsatmy

PN sedia terima sesiapa, asal ikut perlembagaan dan tiada syarat - Hamzah

16 April 2021

PUTRAJAYA: Perikatan Nasional (PN) bersedia menerima mana-mana individu untuk menyertai kerjasama itu.


Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, individu berkenaan termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun perlu mengikut semua yang ditetapkan oleh perlembagaan parti tanpa apa-apa syarat.


“Setiap orang mempunyai hak untuk menyertai mana-mana parti yang dia mahu.


“PN juga adalah satu parti yang juga boleh menerima sesiapa yang mahu mengikut segala perkara yang ada dalam perlembagaan parti tanpa apa-apa syarat.


“Jadi ia bebas untuk sesiapa sahaja berkata, bercakap, (memberi) pandangan, masuk keluar kerana ia telah diberikan kebebasan dalam perlembagaan,” katanya dalam sidang media Wacana Meja Bulat di sini hari ini.


Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menyatakan kesediaan untuk menyertai PN sekiranya individu yang yang bergelar “penjenayah” tidak berada dalam gabungan parti tersebut.


Menerusi wawancara bersama sebuah portal berita, Ahli Parlimen Langkawi itu turut mengakui bahawa ada usaha yang dilakukan untuk membawanya menyertai gabungan PN.


Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata usaha itu gagal kerana beliau tidak boleh bekerjasama dengan beberapa 'penjenayah' yang menyokong kerajaan sekarang.


- Astro AWANI