top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

PN sentiasa terbuka untuk perpaduan tetapi mereka tikam dari belakang – Wan Fayhsal

18 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional sentiasa terbuka dalam apa jua perbincangan perpaduan bagi mengelak apa jua bentuk perpecahan yang lebih besar dalam politik tanah air, kata Ketua Armada Nasional, Senator Wan Ahmad Fayhsal.


Namun katanya, pihak yang menggagalkan perkara tersebut dan menikam dari belakang adalah Datuk Seri Zahid Hamidi dan kumpulan kluster mahkamah dalam Umno itu sendiri.


“Saya tidak salah pemimpin Umno yang lain. Mereka memahami kepentingan memelihara muafakat yang ada dalam Kerajaan Persekutuan pada hari ini.


“Sebab itulah kita mendirikan Kerajaan Persekutuan bersama, berkongsi jawatan dan kuasa.


“Kita tahu PRU tidak boleh dibuat kerana kita berdepan dengan perkara yang lebih mustahak iaitu Pemulihan Negara.


Wan Fayhsal yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional turut berkata walaupun terdapat suara sumbang cuba menidakkan kecemerlangan pentadbiran Perikatan Nasional di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin namun perkara itu telah diakui sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dalam ucapannya di Istana Negara hujung minggu lalu.


“Walaupun ada suara sumbang yang dilaungkan oleh Ketua Pemuda Umno kerajaan gagal … kerajaan gagal.


“Namun YB Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri telah mengakui apa sahaja pakej bantuan yang dikeluarkan oleh kerajaan sebelum ini semuanya berjaya.


“Ini yang dapat dilihat di Melaka, mereka (rakyat) memahami dan berterima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah banyak membantu rakyat yang bergelut ketika kemuncak pandemik melanda.


“Keutamaan kerajaan ketika itu adalah menyelamatkan nyawa, memastikan kehidupan rakyat terbela.


“Alhamdulillah komitmen yang dibuat oleh kerajaan Perikatan Nasional terbukti berjaya,” katanya dalam Pentas Pemuda PRN Melaka yang disiarkan secara dalam talian pada Rabu.

bottom of page