• newsatmy

Polis akan tumpu semua kawasan, pastikan masyarakat di Johor patuh SOP

4 Februari 2021

JOHOR BAHRU, 3 Feb -- Polis akan menumpukan pengawasan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua kawasan di dalam negeri ini bukan di kawasan kampung sahaja seperti yang ditularkan di dalam media sosial, kata Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.


Beliau berkata demikian ketika mengulas notis yang tular di kumpulan WhatsApp di dalam negeri ini yang mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengubah trend rondaan mereka ke kawasan kampung yang dikatakan rendah dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.


"Notis yang tular di WhatsApp itu bukan daripada PDRM..itu dari kumpulan-kumpulan tertentu tetapi apa yang kita hendak tekankan adalah kita tidak menumpukan kawasan-kawasan tertentu sahaja tetapi kita tumpu di semua kawasan,”katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.


Ayob Khan berkata selain daripada itu jumlah anggota pasukan pemantauan juga telah ditingkatkan daripada 240 orang kepada 500 anggota sejak dua hari lepas bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP PKP di negeri ini.


Beliau dalam pada itu berkata, orang ramai diminta menyalurkan maklumat jika mendapati berlaku ketidakpatuhan SOP COVID-19 di negeri ini.


"Seperti di Kota Tinggi semalam, orang ramai yang salurkan maklumat terdapat 15 warga asing yang memakai gelang putih yang didapati membeli barang keperluan.


Polis segera ke lokasi bagi mengambil tindakan sewajarnya. Oleh itu, kita perlukan bantuan orang ramai berkongsi maklumat jika nampak ada yang tidak patuh SOP ditetapkan,” katanya.


-- BERNAMA