top of page
  • zaman

Polis nafi keluar notis amaran aktiviti jenayah guna kanak-kanak jalanan


KUALA LUMPUR,7 sept: Polis menafikan mesej kononnya pasukan keselamatan itu dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan notis amaran berhubung aktiviti jenayah yang menggunakan kanak-kanak jalanan, seperti tular di media sosial.


Ketua Komunikasi Korporat A Skandaguru berkata mesej tersebut mendakwa, terdapat pihak menggunakan kanak-kanak jalanan yang memegang kertas tertulis alamat rumah mereka sebagai taktik, untuk meraih bantuan bagi dihantar pulang.


Menurutnya, mesej tersebut turut mendakwa individu yang membantu kanak-kanak itu akan dibunuh, organ dicuri dan dirogol.

“Polis mengesahkan mesej yang ditularkan adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan KDN atau polis.


“Semakan juga mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan insiden jenayah seperti yang ditularkan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata orang ramai diingatkan untuk tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan sebarang mesej tidak berasas.


Skandaguru turut menasihatkan orang ramai yang berhadapan dengan situasi seperti mesej yang tular itu, untuk membawa kanak-kanak terbabit ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Comments


bottom of page