top of page
  • newsatmy

Polis siasat kes pegawainya bernikah anak Cef Wan

12 April 2021

IPOH: Polis sudah membuka kertas siasatan terhadap pegawai polis, Meor Mohammad Aidid berhubung isu tidak memohon untuk berkahwin kali kedua bersama anak Cef Wan, Serina Redzuawan.


Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, Polis Perak menyerahkan siasatan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Perlis berikutan pegawainya itu sudah bertukar ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Perlis.


"Pada mulanya memang beliau bertugas di sini sebagai pegawai trafik dan kini sudah melaporkan diri sebagai pegawai siasatan jenayah di Ibu Pejabat Kontenjen (IPK) Perlis sejak 2019.


"Jadi, kita serahkan siasatan kepada pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) kerana pegawai ini sudah bertukar ke Perlis," katanya kepada sidang media selepas hadir menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Perak, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM Perak, Ketua Polis Daerah Batu Gajah di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak di sini hari ini.


Mior Faridalathrash berkata, JIPS Perlis ketika ini sedang menjalankan siasatan berhubung isu pegawainya itu.


"Saya juga difahamkan satu kertas siasatan tata tertib sudah dibuka terhadap pegawai berkenaan kerana beliau tidak memohon untuk berkahwin kali kedua dan siasatan dijalankan oleh JIPS Perlis.


"Difahamkan perkahwinan mereka memang berdaftar dengan sah di Perlis, lazimnya kalau tidak meminta kebenaran kita akan ambil tindakan tata tertib melalui jabatan tetapi bagaimanapun ia bergantung kepada siasatan dijalankan," katanya.


Katanya, beliau tidak mahu mengulas lebih panjang kerana siasatan masih lagi dijalankan oleh pihak JIPS Perlis.


Sebelum ini, media melaporkan Serina mengesahkan dirinya bergelar isteri buat kali kedua menerusi entri dalam laman Instagram (IG). Bagaimanapun, Serina tidak berkongsi perincian mengenai majlis pernikahan yang dipercayai berlangsung di sebuah negeri di utara tanah air.


Cef Wan meluahkan kecewa apabila hanya mendapat tahu mengenai pengumuman pernikahan anaknya, Serina daripada kakaknya. Beliau turut mendedahkan pasangan itu bernikah di Thailand.


Serina bagaimanapun menafikan mereka bernikah di Thailand, sebaliknya ia dijalankan di Perlis. Dia turut menafikan Aidid berstatus suami orang sebaliknya adalah seorang duda. -BH Online

bottom of page