top of page
  • newsatmy

Politik negara terus bergelora?


TAMPAKNYA senario politik di Malaysia bakal berubah sekali lagi, susulan beberpa ahli politik daripada Pakatan Harapan (PH) keluar parti dan menyokong kerajaan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin.


Meskipun UMNO membuat keputusan untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang dan menyokong kerajaan PN hanya sehingga Parlimen dibubarkan, perkembangan terkini menunjukkan sokongan terhadap PN yang diterajui Muhyiddin semakin meningkat.


Pengumuman UMNO memberikan bayangan bahawa parti itu akan bertanding secara solo dalam PRU15.


Apakah pengumuman dan pendirian UMNO diterima baik oleh pemimpin-pemimpin parti itu di peringkat akar umbi?


Timbul polemik


Pengumuman UMNO tidak akan bekerjasama dengan PN pada PRU15 bukan sahaja mengejutkan banyak pihak, malah menimbulkan polemik dalam parti itu sendiri.


Ada pemimpin UMNO di peringkat negeri berpendapat bahawa mereka bebas untuk membuat ketetapan sama ada akan bersama Bersatu atau tidak dalam PRU15.


Parti-parti politik Melayu, iaitu UMNO dan Pas menubuhkan gagasan Muafakat Nasional (MN) tempoh hari untuk menghadapi fenomena keruduman politik orang Melayu yang diwarisi sejak turun temurun.


Menurut sesetengah penganalisis politik tanah air, langkah Sheraton pada 2020 yang melahirkan kerajaan PN adalah satu usaha untuk terus memantapkan kuasa politik Melayu.


Atas dasar kepentingan orang Melayu inilah, UMNO bersedia tampil ke hadapan untuk menyokong kelahiran kerajaan PN yang diteraju Bersatu.


Namun, pergolakan politik semasa menunjukkan UMNO dan Bersatu kurang persefahaman dalam beberapa perkara terutamanya aspek pengagihan kerusi untuk menghadapi PRU15.


Namun begitu, parti sekutu kerajaan PN seperti Pas, STAR, SAPP dan Gerakan terus menyokong PN yang diterajui Muhyiddin.


Malah segelintir Ahli Parlimen di Sarawak yang keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga menyuarakan hasratnya untuk terus menyokong kerajaan kepimpinan Muhyiddin.


Dalam hal pengagihan kerusi bagi menghadapi PRU15, adalah wajar bagi BN dan PN meneliti prestasi mereka berbanding parti lawan pada pilihan raya lepas.


Meskipun prestasi BN cemerlang sejak penubuhannya pada 1974, prestasinya mula merudum dan merosot pada PRU12.


UMNO hanya mampu memenangi 54 kerusi pada PRU14 berbanding 79 kerusi Parlimen pada PRU12.


Manakala, prestasi parti komponan BN seperti MCA, MIC dan Gerakan juga amat mengecewakan.


Manakala, sokongan pengundi terutamanya bukan Melayu terhadap parti-parti yang melawan BN semakin meningkat.


Sebagai contoh, PKR berjaya memenangi 47 kerusi, DAP (42), Bersatu (13), Amanah (11) dan PAS (18) pada PRU14.


Namun demikian, Pakatan Harapan (PH) didapati semakin rapuh dan berpecah belah sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad berundur daripada PH yang menguasai Putrajaya pada PRU14.


Memandangkan PN menyertai Muafakat Nasional (MN) baru-baru ini, maka MN disuntik dengan kekuatan baru yang boleh membantu dalam menguasai kebanyakan kerusi di kawasan luar bandar dan kawasan bercampur pada PRU15.


MIC yang hilang sokongan majoriti India sejak PRU12 kini bangkit semula sebagai sebuah parti yang terkuat dalam BN.


Sokongan MIC kepada BN dijangka mencerahkan lagi peluang bagi pakatan politik antara MN, PN dan BN untuk menguasai Putrajaya pada PRU15.


Persoalannya, adakah MN dan PN yang ditubuhkan untuk mengembalikan kuasa politik orang Melayu sambil melindungi kepentingan kaum bukan Melayu akan terus menjadi benteng dalam mempertahankan kuasa politik Melayu pada PRU15 dan menjamin stabiliti politik negara?


Apapun, UMNO dan Bersatu adalah dua parti politik utama dalam negara yang mewakili sebahagian besar orang Melayu.


Pertembungan antara kedua-dua parti ini akan memecahbelahkan proses penyatuan dan perpaduan orang Melayu.


Keputusan PRU14 jelas menunjukkan faktor penolakan dan pengalihan sokongan hampir 10 sehingga 20 peratus pengundi Melayu terhadap sesuatu parti politik yang boleh menyebabkan Putrajaya bertukar tangan malah mengubah keseluruhan penyusunan dan psikologi politik negara.


MIC yang mewakili sebahagian besar orang India sedar terhadap kepentingan penyatuan orang Melayu dalam negara.


Namun, apakah parti-parti yang mewakili kepentingan Melayu akan sedar hal ini atau terus bertelagah sekali gus merugikan malah menggagalkan cita-cita untuk menguasai Putrajaya bagi menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia?

bottom of page