top of page
  • newsatmy

Politik Perak: UMNO, DAP, PKR, Amanah, kemungkinan gabungan baharu politik


Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan berlaku penjajaran baharu di Perak seiring krisis politik yang melanda negeri ini walaupun beliau masih berharap kerajaan yang ada di bawah kepimpinan Menteri Besar yang lalu dapat dikekalkan.


“Kita tahu kenyataan Setiausaha Agung Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jadi satu pendekatan akan diambil oleh UMNO dan BN bagi menentukan pembentukan kerajaan baharu.


"Tetapi ia akan mengambil kira semua pertimbangan politik agar kerajaan yang akan terbentuk merupakan kerajaan yang lebih kukuh dukungannya.


"Oleh itu, saya akan kemukakan cadangan nama kepada Sultan Perak untuk perkenan Tuanku dan Tuanku yang akan tentukan secara mutlak.


"Kerana, itu kuasa Tuanku sepenuhnya bagi menentukan siapa yang akan diperkenankan sebagai Menteri Besar Perak yang baharu,” tambahnya lagi ketika ditemui media di perkarangan Istana Kinta di sini hari ini.


Beliau yang baharu sahaja selesai menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selama hampir satu jam bagi menyembah maklum situasi terkini politik dan pendirian UMNO dalam krisis yang berlaku.


Walau bagaimana pun, Zahid tidak mengulas lanjut berkaitan calon menteri besar yang baharu tetapi mengatakan nama akan segera dihantar setelah memuktamadkan perbincangan dengan beberapa pihak.


"Semua kemungkinan (kerjasama) akan ada, ia tertakluk kepada keputusan muktamad yang akan dilakukan oleh pihak parti," katanya lagi.


#Zahid Hamidi #Barisan Nasional #PAS #UMNO #Pakatan Harapan #Sultan Perak #Menteri Besar #ADUN #politik perak #Ahmad Zahid Hamidi #penjajaran baharu politik #krisis politik #calon MB


bottom of page