top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Porsche pasang model sport di Malaysia, buka peluang kepada bakat tempatan

5 September 2021

KUALA LUMPUR: Malaysia dipilih sebagai negara pertama di luar Eropah bagi pemasangan model kereta sport terkemuka jenama Porsche dalam sejarah penubuhan 70 tahun syarikat automotif Jerman itu.


Ia bakal direalisasikan dengan kerjasama antara Sime Darby Bhd dan Porsche AG yang akan mendirikan kilang pemasangan di Kulim, Kedah.


Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, di sebalik cabaran pandemik COVID-19, Porsche percaya Malaysia merupakan gerbang paling ideal dalam pasaran ASEAN.


"Ini mencerminkan keyakinan syarikat automotif global itu terhadap ekosistem Malaysia yang kondusif dan kekuatan kita untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang mereka.


"Malah, penubuhan kemudahan pembuatan ini secara tidak langsung membuktikan keputusan strategik Porsche terhadap komitmennya untuk memperkukuhkan kehadiran jangka panjang di rantau ini," katanya dalam kenyataan semalam.


Awal minggu ini, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, kerjasama dengan Porsche menandakan pengukuhan hubungan antara cabang perniagaannya, Sime Darby Motors yang terjalin sejak 11 tahun lalu.


Lebih menarik, katanya, pemasangan model Porsche akan dilakukan oleh bakat tempatan yang berkemahiran tinggi milik Sime Darby disokong keupayaan kumpulan itu untuk menyediakan nilai terbaik kepada rakan niaganya.


Mohamed Azmin berkata, projek tersebut yang merupakan sebahagian daripada inisiatif pertumbuhan dilancarkan pada 2018 dan mencerminkan kepercayaan Porsche terhadap kedudukan kukuh negara sebagai hab pembuatan terkenal di dunia bagi pengeluaran produk tulen (OEM) bagi sektor automotif.


Selain itu, katanya, Malaysia juga memiliki bakat tempatan dalam kalangan jurutera dan juruteknik yang berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan ini.


"Dengan reputasi Porsche sebagai pengeluar kenderaan berprestasi tinggi dan dilengkapi teknologi terkini, sudah tentu kerjasama ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi dan memerlukan kemampuan teknologi khusus dilihat akan memperkukuhkan Aspirasi Pelaburan Negara (NIA)," katanya.


Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan akan terus memastikan persekitaran yang kondusif kepada pemimpin industri asing untuk menjalankan perniagaan di negara ini.


"Langkah ini boleh dilaksanakan menerusi insentif fiskal dan bukan fiskal serta kesediaan Malaysia dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan juga rakan kerjasama yang mempunyai keupayaan teknologi," jelas beliau.



*Berita asal di DagangNews.com

bottom of page