top of page
  • zaman

PPRS sedia 73 calon bebas tanding PRN Sabah


KOTA KINABALU 14 DIS: Pertubuhan Prihatin Rakyat Sabah (PPRS) bersedia dengan 73 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bertanding bebas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.


Presidennya, Datuk Mohd Fadli Fathullah berkata, badan bukan kerajaan (NGO) itu telah meneliti segala masalah yang dihadapi rakyat di kesemua kawasan DUN Sabah termasuk di pedalaman.


Banyak masalah diterima pihak NGO sudah terlalu lama iaitu sejak 10 hingga 30 tahun lalu dan tiada tindakan dilakukan oleh pihak tertentu, termasuk wakil rakyat yang diberikan mandat di kawasan berkenaan.

"Keadaan itu memanggil NGO PPRS membentuk jawatankuasa serta menampilkan calon yang akan bertanding di setiap DUN mewakili calon Bebas di mana kami telah membentuk gabungan 1,252 NGO bersama kami," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.


Beliau berkata, menerusi sokongan daripada gabungan NGO itu menunjukkan bahawa rakyat mahukan pemimpin yang mempunyai sifat kepimpinan dalam mentadbir di setiap kawasan masing-masing.


"Kami juga NGO PPRS sentiasa memantau serta memberikan perkhidmatan dalam tunjuk ajar kepada calon yang bakal kami tampilkan dalam membantu masalah dihadapi rakyat di negeri ini.


"Bagi setiap calon yang bertanding bebas dan memenangi kerusi tu nanti akan kami sediakan 10 NGO di setiap DUN untuk membuat pemantauan setiap masa bagi rakyat menyalurkan maklumat.


"Tindakan pantas akan dilakukan dalam usaha menangani masalah rakyat di setiap DUN Sabah," ujarnya. -Sinar Harian

bottom of page