top of page
  • admin

Prestasi ekonomi 2022 terbaik sejak tahun 2000



8.7 PERATUS, tertinggi sejak tahun 2000. Sebelum ini, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan laporan Perkembangan Ekonomi dan Kewangan Malaysia Pada Suku Keempat Tahun 2022. Laporan tersebut adalah penutup prestasi ekonomi negara pada tahun 2022.


Laporan tersebut menunjukkan ekonomi Malaysia telah berkembang sedikit perlahan iaitu pada kadar 7.0 peratus berbanding peningkatan 14.2 peratus yang berlaku pada suku ketiga tahun 2022.


Walaupun begitu, pada kadar 7.0 peratus pertumbuhan ini telah melebihi purata jangka panjang 5.1 peratus iaitu purata antara suku pertama 2011 hingga suku keempat 2019.


Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, perkembangan ini telah disokong oleh pakej-pakej rangsangan yang diberikan fasa pandemik COVID-19 dan kesan asas yang rendah.


Kesan asas yang rendah berpunca daripada pertumbuhan ekonomi yang berkurang pada suku ketiga tahun 2021 iaitu penurunan sebanyak 4.5 peratus. Pada waktu ini, Malaysia melaksanakan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara untuk mengekang penularan semula kes COVID-19.


Namun penunjuk ekonomi menunjukkan kegiatan ekonomi tetap lebih baik daripada jangkaan pada suku pertama tahun 2021 dan berterusan sehingga bulan April. Hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dan disokong langkah-langkah dasar kerajaan yang berterusan.


Keadaan tersebut sebahagiannya telah menyumbang kepada pertumbuhan semula yang tinggi setahun kemudian, iaitu 14.2 peratus pada suku ketiga tahun 2022.


Secara keseluruhan ekonomi Malaysia pada tahun 2022 telah bertumbuh sebanyak 8.7 peratus berbanding 3.1 peratus pada tahun 2021. Pencapaian tertinggi setelah lebih 2 dekad sejak tahun 2000.


Pada tahun 2023, ekonomi akan bertumbuh dengan lebih sederhana faktor persekitaran luaran yang mencabar. Permintaan dalam negeri, pasaran pekerja dan pelaksanaan projek pelaburan perlu menjadi tumpuan utama kerajaan untuk mengimbangi ekonomi global yang dijangka lebih lemah.


Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana tetapi kekal tinggi pada tahun 2023 dalam keadaan tekanan kos dan permintaan yang berlarutan. Inflasi teras dijangka kekal tinggi dalam jangka masa terdekat, sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada separuh pertama tahun 2022.


Kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada serta lebihan kapasiti dalam ekonomi yang masih ada akan terus membendung sebahagian daripada tahap tekanan inflasi yang meningkat. Prospek inflasi kekal sangat bergantung pada sebarang perubahan dasar dalam negeri serta perkembangan harga komoditi global.


YB DATUK AWANG HASHIM

Ahli Parlimen Pendang

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

bottom of page