top of page
  • newsatmy

Prestasi memberangsangkan dorong CBP buka cawangan baru

13 April 2021

KUALA LUMPUR: Pembukaan dua premis Co-op Bank Pertama (CBP) ‘stand-alone’ Ar-Rahnu dan perbankan di Setapak menjadi penanda aras kepada komitmen menyediakan perkhidmatan perbankan yang patuh syariah kepada penduduk di kawasan itu.


Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari berkata, pembukaan cawangan Ar Rahnu CBP itu juga bersandarkan prestasi pengeluaran pembiayaan yang memberangsangkan pada 2020 bahkan meningkat hampir sekali ganda (76.7 peratus) iaitu RM214.3 juta berbanding RM121.2 juta pada 2019.


"Ini membuktikan Ar Rahnu CBP mampu melaksanakan tanggungjawab diamanahkan dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. CBP juga sentiasa memastikan perkhidmatan ini ditawarkan selaras hukum syarak perniagaan pajak gadai Islam.


"Selari dengan arahan pengawal selia, berkuatkuasa 1 Januari 2021, CBP menukar konsep Ar Rahnu upah simpan kepada konsep Tawarruq dan Rahn (gadaian)," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.


Terdahulu, diadakan Majlis Perasmian Pembukaan Cawangan Pertama Stand Alone Ar Rahnu CBP dan Cawangan CBP ke 28, di Setapak.


Pada majlis sama, CBP turut menyampaikan sumbangan kepada 20 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dari sekolah sekitar kawasan itu.


"Sumbangan itu adalah sebahagian daripada usaha program tanggugnjawab sosial (CSR) CBP bagi memastikan setiap pelajar mempunyai akses terhadap pendidikan.


"Selain itu, 20 ketua keluarga dari golongan B40 turut menerima sumbangan dan diharapkan sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan ditanggung sekali gus menambahkan keceriaan sempena kedatangan Ramadan tidak lama lagi," katanya.


Kamari Zaman menjelaskan, Ar Rahnu CBP juga terbuka kepada pelanggan bukan Islam dan secara individu, koperasi serta korporat disamping menyasarkan pembukaan satu cawangan stand alone outlet di setiap negeri.


"Sehingga kini, selain pelanggan Islam perkhidmatan Ar Rahnu CBP turut mendapat perhatian dari pelanggan India dan kami mahu meluaskan perkhidmatan ini kepada masyarakat agama lain.


"Cawangan Ar Rahnu unik kerana ini adalah perintis cawangan stand alone dan akan membuka lima lagi cawangan sama.


"Selain itu, pihak kami cuba fahami cabaran sedia ada sebelum melaksanakan fasa ketiga iaitu membuka cawangan ini di seluruh negara," katanya.


Katanya lagi, Ar Rahnu CBP menawarkan kadar keuntungan kompetitif dan bagi memberikan perkhidmatan terbaik selain proses urusan penggadaian pendek pada purata 15 minit.


"Pun begitu, proses menentukan ketulenan emas perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelak kerugian berlaku terutama kepada pihak kami," ujarnya lagi.


- Astro Awani


bottom of page