• newsatmy

PRN Johor: Kerjasama parti berlawanan boleh berlaku melibatkan parti baharu

27 Januari 2022

KUALA LUMPUR : Kerjasama luar jangka antara parti politik berlawanan boleh berlaku sebelum, semasa dan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelak.


Jelas Timbalan Pengarah KITA UKM, Prof Kartini Aboo Talib, situasi itu berpotensi dilakukan oleh parti-parti baharu yang mempunyai kurang sokongan, untuk bersama parti yang dilihat dominan.


Namun Prof Kartini berpandangan, parti-parti itu akan menggunakan strategi kerjasama selepas pilihan raya setelah melihat kekuatan parti-parti yang bertanding.


"Kita kena akui kemunculan parti baharu lain seperti MUDA dan Warisan. Jangkaan untuk kerjasama parti berlawanan ini boleh berlaku melibatkan parti-parti baharu ini.


"Ini merupakan satu strategi untuk mengukuhkan parti dengan bekerjasama bersama parti-parti dominan," jelasnya dalam Buletin AWANI pada Khamis.


Jelasnya juga, satu lagi kerjasama yang boleh berlaku adalah persefahaman pilihan raya apabila tiada majoriti yang jelas selepas keputusan PRN diumumkan.

"Electoral pact adalah berpakat dalam pilihan raya atau perjanjian dalam pilihan raya melibatkan calon dan parti bertanding. Pada saya ia bergantung kepada kepentingan bersama.


"Sebagai contoh, ia boleh berlaku apabila dalam 56 kerusi bertanding ini terdapat kurang majoriti jelas. Maka electoral pact mungkin boleh berlaku seperti BN mahu bergabung dengan parti baharu atau PH ambil ruang ambil parti baharu yang menang ini.


Namun jelasnya, pada ketika ini UMNO dan Barisan Nasional mempunyai kelebihan untuk menjadi parti dominan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan terdapat beberapa isu membelenggu parti lain seperti sokongan berkurangan, isu dalaman parti serta kekuatan akar umbi yang lemah.


Tambah Prof Kartini, sekiranya UMNO boleh memenangi kerusi di luar bandar dan Barisan Nasional boleh mendominasi kerusi di bandar, parti itu akan bergerak solo tanpa bekerjasama dengan parti-parti lain.