PRN Johor: PEJUANG teruskan perjuangan - Tun M
6 Februari 2022
KUALA LUMPUR: Penglibatan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam pilihan raya negeri Johor adalah tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul oleh semua dalam parti.
Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohammad, dalam surat kepada ahli parti yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini, turut melahirkan rasa kesal kerana tidak dapat bersama mereka menghadapi pilihan raya negeri kerana masih perlu menjalani rawatan di hospital.
"Saya juga berdoa semoga perjuangan kita sentiasa diberkati dan diterima Allah SWT. Teruskan perjuangan dan jangan sesekali berundur walau apa pun rintangan dan cabaran yang mendatang," katanya.
Bekas perdana menteri itu berkata walaupun tidak dapat bersama ahli parti pada pilihan raya negeri Johor, semangat dan jiwanya akan bersama mereka dalam setiap langkah yang mereka lakukan.
"Bagi saya, perjuangan untuk negara tidak akan pernah berakhir, sama seperti kewajipan agama kita. Bagi saya, perjuangan juga adalah kewajipan agama dan amanah yang perlu kita pikul selagi kita hidup," katanya.
Sementara itu, Dr Mahathir yang berkata kini semakin pulih turut mengucapkan terima kasih kepada ahli parti dan semua rakyat di negara ini yang mendoakan kesihatannya.
“Insha-Allah saya akan sembuh dan kita akan bertemu dan meneruskan perjuangan bersama,” katanya.
תגובות