top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

PRN Johor: PKR dedah tujuh calon terakhir

20 Februari 2022

JOHOR BARU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Khairuddin A Rahim, yang akan bertanding di kerusi DUN Rengit, adalah antara tujuh calon PKR terakhir yang diumumkan parti itu untuk pilihan raya Johor, menjadikan jumlah calon kepada 20 orang.


Tujuh calon itu didedahkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di dewan serbaguna Kampung Kopok Baru di Pasir Gudang petang semalam.


Selain Khairuddin, calon lain ialah Naib Ketua Wanita PKR Johor Haryati Abu Nasir yang akan bertanding di kerusi Semarang; Haniff @ Ghazali Hosman (Benut); Mohd Zaiful Bakri (Kukup); Rosman Tahir (Tanjung Surat) dan Zulinah A Johari (Tenggaroh).


Parti itu juga meletakkan calon termudanya, Omar Mokhtar A Manap, 29, di Johor Lama.


Khairuddin, 62, yang bertanding bagi pihak Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berkata beliau berharap rekod prestasinya sebagai ADUN Senggarang dapat memikat pengundi untuk memilihnya pada pilihan raya akan datang.


“Saya harap rakyat di kawasan Rengit dapat menerima saya seadanya, sekali gus membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman itu.


Sementara itu, Omar berkata pencalonannya adalah hadiah paling manis sempena hari lahirnya yang ke-29 hari ini, sambil menambah bahawa beliau akan mengetengahkan isu rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan Undi18 dalam kempennya.


Pada PRU14 PH memenangi 35 kerusi DUN daripada 56 kerusi di mana PKR memenangi lima kerusi daripada 12 iaitu Bukit Naning, Pemanis, Semerah, Bukit Batu dan Tiram.


Bagaimanapun, pada Mac 2020, ADUN Pemanis Dr Chong Fat Full mengumumkan keluar parti manakala tiga penyandang Amanah iaitu Muhamad Said Jonit (Mahkota), Khairuddin (Senggarang) dan Dr Faizul Amri Adnan (Serom) menyertai PKR pada Februari tahun lepas, membawa bilangan kerusi PKR kepada tujuh.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 26 Feb, pengundian pada 12 Mac dan pengundian awal pada 8 Mac.

bottom of page