• Arissa Azman

PRN Johor: Tiada masalah jika MUDA ikut bertanding - Ahmad Maslan

26 Januari 2022

JOHOR BAHRU: UMNO menyifatkan penyertaan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai satu proses 'meraikan' demokrasi yang tiada sesiapa pun boleh menghalangnya untuk bertanding.


Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata semua parti berhak untuk bertanding dan UMNO sebagai parti yang terbesar di negara ini melihat ia sebagai dinamika dalam politik.


"Teruskan, tiada halangan, mereka telah diluluskan pendaftaran dan tiada siapa boleh menghalang (MUDA bertanding). Undang-undang tidak boleh menghalang, ini demokrasi, silakan.

"Saya ingin mengulangi, UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14 terbuka dengan dinamik politik yang pelbagai, kita menghadapinya dengan ketabahan, cabaran dan perjuangan," katanya dalam sidang media selepas Mempengerusikan Mesyuarat Setiausaha UMNO Negeri Johor di Bangunan UMNO Johor, semalam.


Terdahulu, MUDA dilaporkan bersedia untuk bertanding secara solo termasuk sudah menyenaraikan calon bagi kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, bagaimanapun keputusan itu tertakluk kepada hasil perbincangan melibatkan biro politik MUDA.


Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata strategi untuk menambat pengundi baharu yang terdiri daripada golongan muda telah dimulakan menerusi platfrom media sosial seperti yang dilakukan semasa PRN Melaka.


Mengulas lanjut, Ahmad berkata manifesto Barisan Nasional untuk PRN itu masih dalam proses dimantapkan serta menjelaskan calon-calon yang akan bertanding akan diputuskan pucuk pimpinan parti.



-- BERNAMA