Nihaba
PRN Melaka: 13 calon Bebas bergabung, bentuk 'Gagasan Bebas'
11 November 2021

PETALING JAYA: Seramai 13 daripada 22 calon Bebas mengambil langkah bergabung, termasuk berkongsi manifesto bersama, pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
Gabungan dikenali sebagai ‘Gagasan Bebas’ itu merangkumi Ariff Adly Mohammad calon Telok Mas; Mohd Zahar Hashim (Sungai Udang); Abdul Hamid Mustapah (Bukit Katil); Ahmad Muaz Idris (Ayer Molek); Kamisan Palil (Kuala Linggi); Norazlanshah Hazali (Serkam). Mohd Akhir Ayob (Asahan); Azefen Amin (Gadek); Mohd Jaini Dimon (Paya Rumput); Azlan Daud (Machap Jaya); Mohd Erfan Mahrilar (Durian Tunggal); Muhamad Hafiz Ishak (Duyong) dan Sabarudin Kudus (Rembia).
Kesemua 13 calon Bebas itu memaklumkan mereka memilih untuk bergabung dalam satu platform bagi memenuhi aspirasi rakyat Melaka.
Berkemungkinan jumlah calon Bebas yang menyertai gagasan itu juga dijangka bertambah, sekaligus menjadi lebih kukuh dengan penyertaan calon Bebas lain.
“Calon dalam platform gagasan ini juga ingin membuat ikrar aku janji, iaitu kami tidak akan membentuk parti politik baharu selepas selesai PRN Melaka, dan tidak akan sesekali melompat menyertai mana-mana parti,” katanya.
PRN Melaka menyaksikan 112 calon bertembung di 28 DUN seluruh negeri, dengan sejumlah 90 calon adalah daripada lima parti politik dan 22 calon Bebas.
Daripada jumlah itu, 28 calon masing-masing daripada Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, lima daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan seorang calon mewakili Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).