PRN Melaka: Akhirnya untuk siapa?
MELAKA merupakan negeri kedua selepas Sabah sejak 2018 untuk memutuskan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila keabsahan kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali diuji dengan penarikan sokongan oleh empat ahli DUN. Ia menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri.
Walaupun ramai beranggapan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak perlu diadakan sekiranya peristiwa di DUN Perak 2009 dijadikan nota kaki ataupun peletakan jawatan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri; namun Yang di-Pertua Negeri sudah memberi persetujuan pembubaran DUN. Hatta, Suruhanjaya Pilihan Raya membuat keputusan untuk mengadakan PRN ini pada 20 November 2021 dengan penamaan calon pada 8 November 2021. Tempoh 12 hari kempen dibenarkan walaupun secara tidak langsung kempen sudah bermula lama. Bermakna larangan berkempen besar-besaran dengan mengambil kira apa yang berlaku di Sabah bersesuaian dalam konteks semasa.
Amalan demokrasi subur dengan mengadakan PRN dan parti, calon dan jentera perlu kreatif untuk mendekati pelbagai kumpulan pengundi. Dalam meraikan kebebasan berpilihan raya, tidak bermakna keselamatan pengundi boleh diambil sia-sia. Apakah parti dan kepimpinan tidak berfungsi selama ini sehingga memerlukan waktu kempen untuk mendekati pengundi.
Sekiranya tanggungjawab dilaksanakan, pasti pengundi sudah membuat keputusan siapa yang akan dipangkah. Barangkali tumpuan berlebihan kali ini adalah untuk membawa pengundi luar dan atas pagar yang bermotivasi rendah untuk pulang.
Beberapa senario perlu dijadikan asas untuk memahami pemetaan PRN ini. Pertama, jika Barisan Nasional (BN) dan UMNO menang; adakah ia akan digunakan sebagai asas untuk bergerak solo? Kedua, jika Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu menang, apakah akan wujud intervensi berbeza di PRU15? Ketiga, keupayaan Pakatan Harapan (PH) untuk menang tidak boleh diketepikan kepada hanya memerlukan beberapa kerusi untuk membentuk kerajaan negeri andainya PN dan BN tidak menjadi pilihan.
Keempat, DUN yang tergantung dengan ketiadaan pemenang jelas boleh juga berlaku sekiranya pertandingan lebih dua penjuru berlaku. Strategi meletakkan calon Bebas berhadapan dengan musuh politik sebagaimana di Sabah boleh berulang.Gelagat pengundi boleh menentukan jalur pemangkahan. Pengundi setia pada parti akan kekal, cumanya bagaimana pengundi tegar Pas akan menentukan undi mereka jika ‘wahyu’ parti diutamakan.
Ada juga pengundi suka pada calon dan pemilihan calon mestilah bersesuaian dengan
demografi dan geografi 28 kerusi DUN. Yang penting, metodologi untuk mendekati pengundi atas pagar yang mungkin kecewa dengan apa yang sedang berlaku atau keluar untuk melakukan ‘undi protes’. Di samping itu, menamakan calon ketua menteri sangat penting kali ini kerana tumbangnya kerajaan ini adalah persengketaan ke atas kedudukan ketua menteri yang dibuat oleh bekas ketua menteri serta dikatakan ada yang amat berminat dengan jawatan tersebut.
Adly Zahari sudah dinamakan oleh PH, bagaimana dengan PN dan BN? Peranan elit politik membesar di PRN ini dan menarik untuk menyaksikan pertembungan sosok politik baik dalam negeri mahupun dari pusat. Apakah personaliti akan menenggelamkan populariti parti kali ini?
PRN ini adalah kali pertama di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Dilema beliau akan dirasai. Begitu juga dengan kehadiran Datuk Seri Mohd Najib Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Zahid Hamidi danDatuk Seri Anwar Ibrahim. PRN Melaka bukan kayu pengukur kepada PRU15 tetapi jika diteliti sepenuhnya, ia wajar dijadikan analisis bentuk kerjasama yang akan terbentuk nanti. Peratusan keluar mengundi boleh menjadi kayu pengukur kepada pemenangnya nanti.
Dengan Bajet 2022 dibentangkan; apakah MoU menjadi taruhan di PRN ini di samping hubungan PN, BN dan Muafakat Nasional serta perpecahan UMNO-Bersatu. Apakah ini kemuncak kepadanya selepas permulaannya dihidu di PRN Sabah?-sumber MYKMU.NET
*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
コメント