top of page
  • Writer's pictureMatha Ahmad

PRN Melaka-BN telah bersiap sedia

19 Oktober

Barisan Nasional (BN) Melaka telah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November depan.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kesemua jentera pilihan raya, bilik gerakan dan jentera di peringkat lokaliti kini bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya itu.

Ujar beliau, apa yang diharapkan platform PRN bukannya menjadi medan bagi menabur fitnah dan mencari keburukan.

“Kita mengharapkan bahawa dalam pilihan raya ini semua parti dapat menggunakan platform ini bukan (sebagai) tempat untuk menabur fitnah ataupun keburukan orang.

“BN sendiri akan bersama-sama terus dengan visinya membela rakyat dan kita harap kali ini kita bersama-sama dengan rakyat Melaka menunjukkan bahawa kematangan politik ini bermula dari negeri Melaka,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya akur dengan mekanisme kempen pilihan raya yang akan ditentukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam suasana pandemik COVID-19.

Katanya, mekanisme itu perlu bagi mengekang penularan wabak terbabit dan ia akan diangkat sebagai contoh untuk Pilihan Raya Umum akan datang.

“Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah memberikan perkembangan baik untuk berkempen dengan pelbagai kaedah.

“Saya tidak mahu berteka-teki apa yang bakal diperincikan oleh SPR. Memandangkan Melaka telah masuk fasa 4, kehidupan berjalan seperti biasa tanpa mengenepikan SOP yang telah diperuntukkan.

“Saya juga melihat sekiranya fasa 4 ini boleh memberikan satu perkembangan yang baik dalam kaedah berkempen ini.

“Saya rasa rakyat negeri Melaka boleh berkempen dan boleh keluar pada hari mengundi seperti biasa,” katanya.

bottom of page