Arissa Azman
PRN Melaka bukti model PN efektif dan lestari – Wan Saiful
8 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: PRN Melaka ke-15 membuka tirai secara rasmi pada hari ini setelah selesai proses penamaan calon di 28 pusat penamaan calon dengan proses penyerahan penamaan calon telah selesai 10 pagi hari ini.
Perikatan Nasional telah meletakkan calon di semua di 28 kerusi Dun yang dipertandingkan.
Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, proses pemilihan calon-calon bagi mewakili Perikatan Nasional telah dilakukan dengan amat teliti.
“Kita mahu calon-calon yang boleh membawa aspirasi PN, iaitu menawarkan sebuah kerajaan yang mewakili masyarakat Bumiputera dan pelbagai kaum untuk membentuk budaya dan amalan politik baharu yang lebih bersih, stabil, harmoni dan sejahtera untuk semua rakyat Malaysia.
“Itulah yang disebut oleh YB Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN dan Presiden Bersatu. Kita gabungkan mereka yang berpengalaman dengan muka-muka baru.
“Kita juga menawarkan calon-calon muda yang berpotensi tinggi. Semua calon-calon yang dinamakan adalah mereka yang kita yakini akan membawa aspirasi parti demi untuk seluruh rakyat Malaysia.
“Saya juga gembira dengan pengumuman ini kerana ia melambangkan keutuhan hubungan antara parti-parti dalam gabungan PN.
“Sebelum ini ada yang tertanya-tanya jika gabungan PN boleh bekerjasama dengan baik. Pembahagian kerusi dan pemilihan calon-calon secara bersama yang berjalan dengan harmoni menjadi bukti bahawa model PN ini adalah model yang efektif dan lestari.
Kata Wan Saiful lagi, seluruh jentera Bersatu digerakkan untuk membawa kemenangan bagi calon-calon Perikatan Nasional.
“Kita akan berkempen mengikut norma baru. Rekod khidmat PN adalah cemerlang.
“Di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin, kita tidak pernah lari daripada politik khidmat. Pelbagai bantuan kita berikan kepada segenap lapisan rakyat dalam menghadapi pandemik Covid 19.
“Kita juga teguh berpegang dengan prinsip kedaulatan undang-undang, menjaga kebebasan institusi kehakiman, dan membersihkan negara daripada salah laku dan rasuah.
“Iltizam kita ialah meneruskan kecemerlangan yang sama di Melaka sekiranya rakyat Melaka memilih PN,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook pada Ahad.
PRN Melaka ke-15 akan berlangsung pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lalu ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap pentadbiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Melaka mempunyai 28 kawasan dun dan memiliki seramai 495,196 pengundi yang telah berdaftar dengan SPR.