top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

PRN Melaka: Dikenali penduduk setempat satu kelebihan – Azalina

11 NOVEMBER 2021

MELAKA: Dikenali oleh penduduk setempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim merupakan satu kelebihan.


Itulah antara keyakinan yang dikongsikan oleh calon Perikatan Nasional, Azalina Abdul Rahman yang bertanding tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim menentang calon Barisan Nasional, Datuk Khaidirah Abu Zahar dan Prasanth Kumar dari PH.


“Memang saya ingin berbakti membantu orang ramai di kawasan sendiri, lebih-lebih lagi saya merupakan anak jati kawasan ini.”


“Permintaan untuk bertanding di tempat sendiri diperkenan oleh Tan Sri Presiden mewakili PN di sini.


“Saya percaya saya ada kelebihan kerana ramai mengenali saya di sini.


“Kebetulan sewaktu PKP dijalankan, saya sentiasa bergerak menyantuni rakyat terutamanya di Rim, jadi ini membuktikan penduduk setempat nampak saya tidak hanya bertanding untuk pilihanraya semata-mata sahaja,” kata Azalina yang ditemui di Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional DUN Rim pada Rabu.


Malah kata Azalina, dia bertambah yakin apabila melihat sokongan padu orang ramai terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.


“Saya menjadi lebih yakin apabila rata-rata mahukan Perikatan Nasional mentadbir negeri Melaka,” katanya.


Calon berusia 44 tahun yang dilahirkan di Kampung Chenderah di sini berkata, masalah utama penduduk di sini tentulah masalah liputan internet yang kurang memuaskan dan pembangunan sektor ekonomi yang tidak seimbang.


“Saya nampak saya boleh memajukan sektor ekonomi orang kampung kerana Rim merupakan pintu masuk gerbang selatan yang menjadi laluan masuk orang ramai dari Johor,” katanya yang mempunyai keyakinan tinggi untuk memenangi kerusi DUN Rim.

bottom of page