top of page
  • newsatmy

PRN melaka-PAS sedia runding kerjasama dengan PN dan MN

18 Oktober

PAS sekali lagi mengulangi kesediaannya untuk terus berunding dengan parti sekutu dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat perbincangan itu penting bagi mengelak pertembungan tiga penjuru sesama sendiri yang dikhuatir akan masing-masing akan tewas dan banyak kerusi akan dimenangi oleh PH.

Pas tetap bersedia dengan apa juga kemungkinan yang berlaku sekiranya rundingan itu tiada penyelesaian.


“Pas bersedia mengadakan perbincangan dengan rakan MN dan PN bagi menentukan kerusi bakal ditandingi pada PRN Melaka.

“Ini bagi mengelak (persaingan) tiga penjuru, namun Pas juga bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan,” katanya sepertimana yang dilaporkan Berita Harian.

Tuan Ibrahim berkata, Pas juga akan bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai potensi.

Katanya, sebagai persediaan, Pas sudah menubuhkan dua jawatankuasa bagi menyelaras gerak kerja jentera parti itu.


“Pas bersedia turun bertanding di beberapa DUN yang kami yakin ada potensi besar untuk mencapai kejayaan. Kami sudah menubuhkan Jawatankuasa Induk PRN Melaka diketuai Naib Presiden, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga penyelaras bagi Zon Selatan.

Jawatankuasa Operasi pula diketuai Dr Wan Nik Wan Yusoff dan dibantu Pas Melaka,” katanya.


Ketua Dewan Ulamak PAS, Dr Nik Muhammad Zawawi pula meluahkan rasa yakin UMNO dan Bersatu akan bersama dalam agenda penyatuan ummah bagi memperkasakan semula sokongan Melayu dan Islam bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, apa yang berlaku sekarang dianggap tidak lebih latihan dalam berpolitik.

“Orang politik kalau ditanya hidung di mana, dia tidak akan tunjuk hidung di sini (direct), tetapi dia buat mari ikut sini (belakang), jadi bila mari ikut belakang ada banyak pandangan,” katanya

Beliau turut menafikan Muktamar Tahunan Pas yang akan diadakan November ini membincangkan tindakan UMNO yang mahu memutuskan hubungan dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Agenda penyatuan ummah yang dibawa Pas sudah lama, bahkan ahli di peringkat akar umbi pun sudah memahami hasrat tersebut selama 71 tahun penubuhannya.

“Muktamar ini dijangka tidak hangat dengan isu tersebut, sebab kita sudah lama dengan agenda penyatuan ummah. Sebelum PRU pun sudah dibincang untuk menyatukan orang Islam,” tambah beliau.

bottom of page