top of page
  • Writer's pictureNihaba

PRN Melaka: PAS tubuhkan skuad media sosial bantu kempen

Updated: Oct 27, 2021

27 Oktober 2021

AYER KEROH: Jentera Pilihan Raya PAS Melaka bersedia melaksanakan kempen menggunakan media sosial sebagai alternatif kempen secara fizikal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata, kaedah itu perlu digembleng memandangkan prosedur operasi standard (SOP) ketat pada PRN tersebut.


Bagaimanapun katanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta memberi sedikit kelonggaran bagi aktiviti kempen melibatkan golongan warga emas.


“PAS meminta KKM dapat memberi sedikit kelonggaran untuk kempen bertemu pengundi dengan kaedah bersemuka terutamanya pengundi yang sudah lanjut usia.


“Dan sekiranya dibenarkan, semua pihak harus mematuhi prosedur SOP bagi mengelak pandemik Covid-19 meningkat semula,” ujar beliau


Baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan SOP bagi kempen PRN Melaka termasuk melarang perhimpunan politik dan kempen dari rumah ke rumah.


Bagaimanapun Kamarudin juga berkata, pihaknya tidak dapat pastikan sama ada pengundi warga emas atau pengundi saluran 1 berupaya atau tidak mengikuti kempen melalui media sosial.


Katanya kempen pilihan raya melalui media sosial dianggap kurang sesuai bagi pengundi warga emas yang kurang mahir menggunakan media tersebut.


“Kita lihat pengundi-pengundi warga emas yang banyak di saluran 1 lebih mudah diberi penjelasan mengenai isu semasa politik menerusi kaedah bersemuka berbanding media sosial.


“Mereka dari segi penglihatan contohnya, sudah tidak begitu jelas untuk menatap bahan kempen melalui telefon bimbit atau komputer riba,” ujarnya.

bottom of page