top of page
  • newsatmy

PRN Melaka, PN ajak berunding sebab mereka lemah - Zahid Hamidi

6 Oktober 2021

KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) dijangka tidak menjalin kerjasama dengan parti lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekali gus membuka ruang kepada saingan, sekurang-kurangnya tiga penjuru di antara parti itu dengan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).


Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan, berkata kenyataan awal Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mencadangkan PRN dibuat bagi meleraikan kemelut politik di Melaka, menterjemahkan keyakinan parti itu mengekalkan penguasaan mereka dalam kerajaan negeri.


Beliau berkata, kenyataan kedua Ahmad Zahid dalam masa 24 jam selepas itu yang menyokong darurat dikuatkuasakan di Melaka, pula hanyalah untuk mengelakkan UMNO dipersalahkan rakyat sebagai punca PRN terpaksa diadakan.


"Kenyataan pertama Ahmad Zahid menunjukkan UMNO yakin di Melaka dan BERSATU tidak kuat. Itu memang berasas terutama dari segi jentera pilihan raya BERSATU yang agak lemah

"Jadi, PRN Melaka adalah peluang UMNO untuk menunjukkan bahawa mereka lebih kuat daripada BERSATU. BERSATU sendiri tahu mereka adalah lemah di negeri itu berbanding UMNO.


"Sebab itu BERSATU (bersama PAS dalam PN) mengajak UMNO berunding supaya tidak berlaku pertembungan sesama mereka," katanya kepada BH, hari ini.


PRN Melaka perlu dilaksanakan dalam masa 60 hari bermula semalam apabila DUN dibubarkan berikutan tindakan empat wakil rakyat kerajaan menarik balik sokongan mereka terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.


Bagaimanapun setakat ini status PRN Melaka belum dimuktamadkan kerana ia berkemungkinan ditangguh berikutan gesaan banyak pihak supaya darurat diproklamasikan susulan kebimbangan penularan COVID-19 sebagaimana yang berlaku selepas PRN Sabah, tahun lalu.


Sementara itu, Azmi percaya UMNO tidak bermasalah untuk mengatasi BERSATU dari segi jumlah kerusi yang dimenangi dalam PRN Melaka dan perkara itu akan menyebabkan BERSATU tersepit di peringkat nasional.


Katanya, keputusan itu nanti akan digunakan oleh UMNO untuk mempamerkan kekuatan di peringkat nasional bahawa mereka lebih dipercayai pengundi.


"Ini yang BERSATU tidak mahu kerana senario di Melaka adalah berlainan dengan senario nasional.


"BERSATU agak tersepit dalam perkara ini, sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob walaupun dari UMNO, telah menyuarakan kegusaran beliau tentang PRN Melaka, ini untuk ambil hati kedua belah pihak iaitu UMNO dan BERSATU," katanya.


Berkenaan kemampuan PAS untuk membantu BERSATU, Azmi berkata, pengaruh parti itu kurang menonjol di Melaka apabila mereka kalah di semua 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-14.


"Kalau penyokong PAS undi BERSATU, ia mungkin memberi sedikit tekanan kepada UMNO tapi bagi saya, ia masih tak cukup untuk bantu kemenangan BERSATU.


"Saya lihat saingan PH kepada UMNO pun tak berapa sengit, hanya DAP yang solid dengan tujuh kerusi DUN manakala PKR dan AMANAH yang masing-masing ada dua kerusi, sebelum ini banyak dibantu undi penyokong DAP.


"Sebab itu kita lihat UMNO dalam keadaan selesa, cuma masalah dalaman UMNO sahaja yang boleh mengkucar-kacirkan parti itu," katanya.


Turut menjangka UMNO akan bergerak secara bersendirian dalam PRN Melaka ialah penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.


Katanya, ia berdasarkan beberapa kenyataan terbaru Ahmad Zahid termasuk mempersoalkan adakah Muafakat Nasional (MN) bersama PAS masih wujud.


"Berdasarkan beberapa kenyataan Ahmad Zahid sebelum ini, nampak condong kepada bergerak sendiri dalam PRN Melaka.


"Jumlah kerusi dimenangi UMNO dalam PRU-14 juga jauh di hadapan berbanding komponen PN. BERSATU dulu ada dua kerusi tetapi sekarang tinggal satu, PAS langsung tiada kerusi. Sebab itu UMNO ada keyakinan di Melaka tanpa kerjasama pihak lain," katanya.


bottom of page