top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

PRN Melaka: PN pertaruh calon berpengalaman, muka baharu

28 OKTOBER 2021

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan mempertaruhkan individu berpengalaman serta muka baharu sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.


Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mengesahkan perkara itu berkata kesepakatan itu dicapai hasil perbincangan bersama komponen PN.


“Kami ada calon-calon yang berkualiti yang akan kami tawarkan. Yang penting, calon-calon kami adalah (mereka) yang berintegriti, tiada sejarah penyelewengan dan terbukti komited untuk berkhidmat kepada rakyat Melaka.


“Kami akan pastikan mereka membawa kemakmuran kepada negeri Melaka dan bukan membina empayar kekayaan peribadi,” katanya dalam kenyatan kepada media hari ini.


Sementara itu, Wan Saiful menerusi catatan di Facebook berkata gabungan itu akan berkempen menggunakan platform media dalam talian dan media cetak sebagai usaha memastikan rakyat mendapat maklumat.


Ia susulan langkah Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengenakan larangan untuk sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya berkuat kuasa Isnin lepas sehingga 27 Nov.


“Media dalam talian dan media cetak akan menjadi platform utama kami dan kami akan sediakan aktiviti penerangan yang sesuai untuk mendekati pengundi. Pada masa yang sama, saya minta pihak berkuasa memperhalusi mekanisme pelaksanaan SOP (prosedur operasi standard) ini,” katanya.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 Nov manakala tarikh mengundi pula pada 20 Nov.


PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN Melaka pada 4 Okt lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertindak menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

bottom of page