top of page
  • Writer's pictureNihaba

PRN Sarawak 18 Disember - SPR

24 November 2021

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak diadakan pada 18 Disember depan. Tarikh penamaan calon pada 6 Disember, manakala pengundian awal diadakan pada 14 Disember.


SPR tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lalu berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu.


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 11 Januari sehingga 1 Ogos, bagi mengekang penularan COVID-19.


Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022 tetapi darurat ini ditarik balik pada 3 November lalu, sekali gus membolehkan SPR mengadakan pilihan raya Sarawak yang mempunyai 82 kerusi DUN setelah DUN Sarawak terbubar .


Dalam sidang media itu, Abdul Ghani berkata, seramai 1,252,014 orang pengundi di negeri itu layak mengundi dalam PRN-12 dan mereka terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan, 10,458 anggota polis dan pasangan serta 113 pengundi tidak hadir luar negara.


Sebanyak 1,866 pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi/saluran dan 85 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 111 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.


“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 dengan 3,666 tempat mengundi/saluran. PRU DUN Sarawak Ke-12 ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM150 juta,” katanya.


Abdul Ghani juga berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas hari penamaan calon sehingga jam 11.59 malam, 17 Disember.


bottom of page