top of page
  • newsatmy

Program 100 Hari: SOP ketat namun penjarakan fizikal masih sukar dipatuhi

11 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Semalam, penganjur Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikompaun kerana tiada penjarakan fizikal dan pada hari ketiga program, keadaannya hampir sama yang mana penjarakan fizikal masih sukar diamalkan.

Secara keseluruhannya, tinjauan Astro AWANI mendapati penganjur melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, bermula dari pintu masuk sehinggalah ke dalam dewan.


Wakil penganjur yang enggan namanya didedahkan berkata, mereka mengamalkan SOP ketat seperti hanya membenarkan 5,000 orang memasuki dewan pada satu masa sedangkan kapasiti penuh dewan boleh memuatkan 10,000 pengunjung.

Bahkan, katanya, penganjur juga menyediakan lebih 300 petugas keselamatan untuk memantau SOP bermula dari pintu masuk sampailah ke dalam dewan.


"Kami memang pantau jumlah pengunjung melalui aplikasi MySejahtera bila mereka 'check in' dan 'check out'. Dari situ kami tetapkan jumlah pengunjung.

"Malah kami sediakan 'hand sanitizer' di setiap reruai dan mereka juga perlu daftar di sana. Kami juga ada petugas yang sentiasa ronda, bawa kad minta jaga penjarakan fizikal.

"Bukan itu sahaja, kami juga gunakan pembesar suara untuk sentiasa mengingatkan pengunjung supaya mematuhi SOP terutamanya berkaitan penjarakan fizikal," katanya kepada Astro AWANI.


Tambah beliau, meskipun SOP ditetapkan agak ketat namun beliau mengakui agak sukar untuk meminta pengunjung mengawal penjarakan kerana ada kalanya mereka tertumpu di satu kawasan sahaja.

Berdasarkan pemerhatian, pengunjung dilihat mematuhi segala SOP di luar dewan namun apabila berada di dalam, keadaannya sedikit di luar kawalan terutamanya sekiranya ada persembahan di mana-mana reruai.

Begitupun, hampir setiap masa petugas akan mengingatkan pengunjung mematuhi SOP, melalui pembesar suara atau berkomunikasi secara terus dengan mereka.

Dalam pada itu, beberapa petugas keselamatan yang ditemui mengakui keadaan semakin baik terutamanya selepas program MySaman tidak lagi dianjurkan di program itu.


Menurutnya, mereka sedaya upaya cuba memastikan SOP dipatuhi namun mengakui apabila melibatkan penjarakan fizikal, agak sukar untuk mereka memastikan ia dipatuhi 100 peratus.

Astro AWANI pada Jumaat melaporkan Penganjur Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikenakan kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342) bernilai RM1,000.

Ia susulan kegagalan memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan pada hari pertama acara berkenaan pada Khamis.


Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata nilai kompaun tersebut adalah paling maksimum yang boleh dikenakan kepada individu dan pertubuhan ataupun organisasi, yang digunapakai selepas pengungkaian Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Negara pada 8 Disember lalu.

bottom of page