top of page
  • newsatmy

Program digital bantu perkasakan usahawan mikro


11 April 2021 KUALA LUMPUR : Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menganjurkan Program Digital @ Jeli, semalam.

Kursus latihan berbentuk latihan secara terus itu dianjurkan bagi memperkasakan usahawan di Kelantan dengan pengetahuan serta kemahiran penggunaan platform perniagaan digital.

Program itu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Persekutuan untuk memulihkan ekonomi negara pasca-pandemik COVID-19 dengan membantu usahawan mikro dan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Langkah itu juga bagi membolehkan peniaga mikro dan PKS mengharungi perubahan landskap keusahawanan yang lebih tertumpu kepada pendigitalan dalam realiti baharu ini. Kursus bimbingan secara praktikal ini membabitkan 30 peserta latihan kemahiran dan keusahawanan dari pelbagai agensi seperti ECERDC, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Pusat Internet Desa dan Pusat Internet Komuniti.

Semua peserta yang terpilih untuk mengikuti program itu mempunyai laman perniagaan masing-masing di platform seperti Facebook dan Shopee.

Ini kerana program ini bermatlamat untuk membantu peserta menggarap sepenuhnya pelbagai fungsi platform digital bagi meluaskan lagi capaian pasaran perniagaan masing- masing.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat, berkata pandemik COVID-19 telah mengubah landskap sosio-ekonomi negara secara menyeluruh dan kesannya dirasai oleh setiap lapisan masyarakat, terutamanya usahawan mikro dan PKS.

"Oleh itu, ECERDC di bawah pimpinan Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan komited untuk memastikan mereka yang terjejas menerima bantuan yang diperlukan dalam tempoh yang mencabar ini," katanya.

Beliau berkata, bagi meningkatkan kadar penerapan teknologi digital dalam kalangan kumpulan sasaran yang terjejas, kursus berkaitan serta khidmat nasihat mengenai kegunaan platform digital ditawarkan.

"Ini bagi membantu perniagaan mereka lebih berdaya saing dan bersedia untuk menerokai potensi baharu pada masa yang akan datang," katanya.

Menerusi program itu, peserta berpeluang untuk mempelajari dan menggunapakai kemahiran digital dalam urusan perniagaan mereka; menggunakan platform pasaran dalam talian.

Langkah itu termasuk ruang niaga di Facebook untuk memperluaskan pasaran perniagaan masing-masing; menguasai penggunaan platform Shopee seperti fungsi baucer dan Shopee live; mengguna pakai Landing Page serta penjenamaan; dan menggunakan kaedah e-book dalam pemasaran digital.

Program Digital @ Jeli telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed. -BH Online


bottom of page