top of page
  • zaman

Program Jualan Murah Keluarga Malaysia telah dilaksanakan di 454 DUN


PUTRAJAYA,12 Sept: Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) telah dilaksanakan di 454 Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu 71 peratus daripada 639 DUN yang disasarkan, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini hari ini, beliau berkata pelaksanaan PJMKM sedang dipergiatkan memandangkan ia menerima sambutan mengalakkan daripada Keluarga Malaysia.


“Program PJMKM telah meningkat di beberapa negeri dan usaha (laksanakan PJMKM) perlu dilipatgandakan lagi. Ini kerana ada beberapa negeri agak perlahan pelaksanaannya seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan kawasan tertentu di Sarawak,” katanya.


PJMKM yang bermula pertengahan Ogos, merupakan program yang memberi akses kepada rakyat untuk mendapatkan barangan lebih murah pada setiap minggu.


Annuar berkata pemakluman mengenai PJMKM akan dipertingkatkan di saluran berita tempatan, bagi membolehkan orang ramai mengetahui tentang program tersebut dengan lebih menyeluruh.


“Saluran berita tempatan hendaklah memaklumkan premis mana yang sedang mengadakan PJMKM, apa jenis barangan dan berapa peratusan pemotongan diberi. Ini bagi membolehkan rakyat golongan B40 dapat maklumat dan dapat guna sepenuhnya PJMKM, untuk dapatkan barang keperluan di kawasan mereka,” katanya.


Annuar berkata setiap premis yang melaksanakan PJMKM, perlu memaparkan label barang keperluan yang tersenarai dalam program itu dengan terang dan jelas.

“Semua kedai kena papar produk-produk mengikut piawaian seperti ditetapkan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Kita telah pilih logo, kapsyen dan corak warna tertentu dan ia perlu distandardkan supaya ia lebih efektif dari segi penjenamaan dan pemasaran program yang kita jalankan,” katanya.


Annuar turut memaklumkan yang program jualan murah di institut pengajian tinggi awam (IPTA) atau PJMKM@Kampus, akan dilancarkan pada 10 Okt ini di Universiti Kebangsaan Malaysia.


“Sebaik sahaja universiti dibuka semula pada 10 Okt untuk semester baru, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan lancarkan PJMKM@Kampus. Jualan sama, serentak akan diadakan di 20 kampus lain dengan koperasi yang sedia ada dalam universiti telah dikenal pasti untuk laksna program itu,” katanya. - BERNAMA

bottom of page