top of page
  • zaman

Promosi silat di semua sekolah di Malaysia


PETALING JAYA, 14 Sept – Silat harus dipromosi dan diangkat secara lebih agresif bagi memastikan seni silat sebagai warisan bangsa tidak terpadam ditelan zaman.


Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata beliau anggup memberikan sepenuh kerjasama untuk membantu mempromosi silat di akar umbi, agar setiap sekolah, setiap kampung, setiap mukim ada sekurang-kurangnya satu gelanggang silat.

“Silat bukan semata-mata untuk beraksi di lapangan; tetapi pendidikan yang menyentuh aspek moral dan etika yang tidak bercanggah dengan tuntutan agama. Antaranya, tidak boleh menderhakai kedua-dua ibu bapa dan orang tua, menghina seseorang, ataupun menggunakan silat sesuka hati tanpa sebarang sebab yang kukuh.

“Silat dapat membentuk anak muda yang kuat fizikalnya, kental mentalnya disamping membentuk sahsiah diri yang sempurna.

“Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika kita ingin anak bangsa kita tahu warisan nenek moyang mereka, kita boleh bermula dengan setiap sekolah dahulu,” katanya.


Terdahulu, lebih 1,000 peserta muda silat yang datang dari pelbagai pelusuk tanah air hadir untuk menjayakan program Kejohanan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan yang diadakan di Evolve Concept Mall, baru- baru ini.


Difahamkan, pihak pengurusan pusat membeli-belah itu telah menaja ketiga-tiga tingkat bangunan tersebut bagi kegunaan program kejohanan silat.


Beliau yang juga Ketua Armada BERSATU Malaysia, berkata sokongan padu daripada semua pihak adalah penting untuk memastikan kelancaran setiap gerak kerja yang telah atau bakal dilaksanakan.


“Syabas khususnya kepada Cikgu Sazali Dato’ Meor Abdul Rahman, Cikgu Rizal Husin dan kepada semua peserta dan pihak penganjur Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan (PSSGM),” katanya.

bottom of page