• newsatmy

Proses rangka belanjawan 2022 bermula April - Mustapa

29 Mac 2021

BACHOK: Unit Perancang Ekonomi (EPU) sudah mula menerima senarai cadangan projek pembangunan untuk merangka Belanjawan 2022, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Beliau berkata proses seterusnya adalah untuk merangka Belanjawan 2022, bermula April sehingga Ogos.


"Peruntukan Belanjawan 2022 kita belum tahu jumlahnya, tetapi EPU sudah terima kebanyakan permohonan daripada kementerian. Mulai April kita akan perhalusinya dan kita jangka pada Ogos akan dimuktamadkan.


"Kemudian kita akan berunding dengan Kementerian Kewangan kerana mereka akan tentukan berapa peruntukan yang dapat dibelanjakan," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok, di sini pada Ahad.


Turut hadir, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.


Mengulas lanjut, Mustapa berkata antara permohonan yang sudah diterima melibatkan peruntukan untuk menambah baik infrastruktur di seluruh negara.


"Kebanyakan proses bermula di EPU untuk kita melihat senarai keutamaan. Sudah pasti ia senarai yang panjang, ada yang berkaitan dengan pembinaan balai polis, sekolah, hospital dan jalan raya termasuk melibatkan penyelenggaraan," katanya.


- Astro Awani