top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Prosiding Dewan Rakyat menyaksikan kemunculan 84 kes positif Covid-19

1 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat semasa setakat ini menyaksikan kemunculan 84 kes positif Covid-19 setakat hari ini.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian telah menjalankan saringan Covid-19 secara berkala sepanjang prosiding Dewan Rakyat bermula 27 Okt dan akan berakhir 23 Dis.


“Setakat hari ini, terdapat 84 kes positif yang telah disahkan oleh ujian Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).


“Sebanyak 18 kes telah dikesan daripada ujian saringan pra-prosiding Dewan Rakyat dari 22 hingga 25 Okt.


"Langkah kawalan dan pencegahan telah dijalankan. Semua kes diasingkan dan hasil siasatan mendapati kes itu tidak mempunyai kaitan epidemiologi dan tiada kluster dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan.


Dr Noor Hisham berkata ujian saringan yang dijalankan semasa persidangan Dewan Rakyat melaporkan 41 jangkitan Covid-19 dari 27 hingga 28 Okt lepas.


Beliau berkata semua kes diasingkan serta-merta dan tiada kluster dilaporkan.


"Pada 29 Nov, 25 kes dikesan melalui saringan Covid-19 berkala. Kes yang dikenal pasti mempunyai kadar infektiviti dengan nilai Rt atau nilai ambang RT-PCR antara 13.7 dan 36.11.


"Sehingga kini, semua sampel berkemungkinan besar adalah varian Delta yang dikesan melalui saringan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay.


“Bagi mengesahkan varian jenis ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan jujukan genomik (kajian genomik) dan masih menunggu keputusan penuh,” katanya.


Tambah Dr. Noor Hisham, pasukan Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya kini sedang menyiasat dan mengesan kontak rapat serta menilai risiko untuk mengesan punca jangkitan.


“Ini bagi memastikan tindakan lanjut dapat dilaksanakan selain aktiviti nyah kuman akan dilakukan di kawasan Parlimen.


“Kementerian akan mengemas kini situasi Covid-19 di Parlimen dari semasa ke semasa.


“Status semua kes positif Covid-19 dan kontak rapat serta kes baharu yang mungkin dilaporkan dalam tempoh inkubasi akan dipantau.


"Justeru, dinasihatkan individu yang hadir ke Parlimen terus memantau kesihatan menggunakan aplikasi MySejahtera. Jika bergejala, jangan hadir ke Parlimen, jalani ujian saringan Covid-19 dan dapatkan rawatan segera," katanya.

bottom of page