Nihaba
PRU 15-Anwar mungkin tidak bertanding di Parlimen Port Dickson

KUALA LUMPUR, 29 Sep – Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim hari ini mungkin memberikan bayangan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson dan mungkin bertanding kerusi Parlimen yang disandang oleh pengkhianat KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang itu tidak menamakan kawasan kerusi Parlimen yang menjadi perhatiannya, namun kerusi itu mestilah memberi kelebihan tambahan kepada KEADILAN dan PH.
Namun beliau belum ada pilihan lagi (Parlimen) untuk ditandingi tapi dalam pertimbangan adalah kerusi yang dimenangi (KEADILAN dan PH) tetapi mereka bertindak keluar parti
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab pada program Sembang Kencang KLS @ Anwar Ibrahim anjuran Kelab Wartawan Kuala Lumpur & Selangor (KLS), di sini hari ini.
Anwar berkata, ketika ini sentimen dan sokongan yang diterimanya di Port Dickson kuat dan lebih baik berbanding ketika bertanding pada Pilihan Raya Kecil Port Dickson pada Oktober 2018.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, yang bertanding atas tiket KEADILAN pada PRU14, bertindak keluar parti dan menyertai BERSATU.
Turut mengikut jejak Azmin ialah bekas naib presiden KEADILAN Zuraida Kamaruddin (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).
Sementara Steven Choong (Tebrau) turut akan bertemu ‘buku dengan ruas’ apabila KEADILAN dijangka menang mudah berdasarkan perkembangan semasa tanpa mengambil sentimen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.
Kesemua kerusi berkenaan bakal ditandingi semula KEADILAN dengan menyasarkan mana-mana pengkhianat parti akan menemui noktah karier politik mereka walau di mana sahaja mereka bertanding.