top of page
  • Farah

PRU-15: PN sedang perhalusi isu pertindihan kerusi


KOTA BHARU, 22 Ogos – Pembahagian kerusi dalam Perikatan Nasional (PN) berjalan dengan baik dan sudah di peringkat akhir pemilihan untuk dimuktamadkan.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya juga sedang memperhalusi isu pertindihan kerusi dan perkara itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Perundingan Kerusi.


Beliau berkata, sekiranya gagal diselesaikan, perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat antara presiden namun memberi jaminan ia akan diselesaikan dalam masa yang singkat.

“Masih dalam ‘finalise’ (di peringkat akhir untuk dimuktamadkan), banyak juga kerusi yang sudah diputuskan namun ada yang masih bertindih (dan) sedang kita perhalusi.

“Akhirnya jika Jawatankuasa Perundingan Kerusi ini gagal membuat keputusan, ia akan dibawa kepada mesyuarat antara presiden.

“Terlalu sedikit yang masih bertindih namun memerlukan kita untuk mengadakan sedikit lagi perbincangan. Ada yang bertindih dalam kerusi negeri dan Pusat, dalam masa yang singkat akan selesai,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.


Ahmad Faizal ditemui di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, selepas menghadiri Himpunan Perikatan Nasional peringkat negeri Kelantan sempena sambutan ulang tahun ke-2 PN.


Turut hadir ialah Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ahli Majlis Tertinggi PN, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Ahmad Faizal berkata, PN sudah bersedia sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) diadakan dalam masa terdekat dan yakin dengan kerjasama semua parti komponen yang ada dalam gabungan itu.


“Jika PRU-15 dalam masa terdekat, tiada masalah, kita bersedia. Kita tak nak mengatakan keyakinan seperti orang lain yang terlalu yakin namun kita yakin dengan apa yang kita lakukan dan kita istiqamah dalam kalangan semua parti komponen PN kerana itu yang amat penting dalam kita nak buat kerjasama.

“Berkaitan jentera pilihan raya, kita sudah bersedia dan bersemangat untuk menghadapi pilihan raya dan kita sentiasa memberi peluang (sama ada) wanita, orang muda, orang dewasa, berpengalaman, profesional, agamawan dan korporat,” katanya.

bottom of page