top of page
  • Farah

PRU15 bukan 'ibu' segala pilihan raya - Hamzah selar Zahid


PUTRAJAYA,17 OKT: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan 'ibu' segala pilihan raya seperti dikatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selar Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.


Sebaliknya, PRU15, jelas Hamzah, merupakan proses demokrasi yang biasa dilakukan seperti sebelum ini yang memberi mandat kepada rakyat memilih pemimpin mereka.


"Saya dengar Presiden UMNO (Ahmad Zahid Hamidi) kata, dia kata kali ini adalah ibu segala pilihan raya, pada saya perkara biasa tiada ibu pilihan raya atau tidak. "Kita semua kena bersedia menentukan landskap politik sesuatu melambangkan kematangan pengundi dalam negara. Jadi kali ini sudah ada peningkatan pemikiran rakyat terhadap sesiapa mereka mahukan," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pendaftaran Negara ke-74 tahun 2022 di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, pada Isnin.


Menurut Hamzah, pengundi pada PRU15 dilihat lebih matang dalam menentukan masa depan mereka dengan memilih kerajaan yang berintegriti.

"Ia bukan hanya melambangkan warna parti itu, tapi melambangkan kepimpinan yang ada, negara kita perlukan pemimpin bertanggungjawab dan berintergriti.

"Kalau itu jadi salah satu kayu pengukur, saya merasakan pengundi bijak mengetahui demi kepentingan masa depan negara, tanggungjawab itu demi negara," katanya lagi.


Mengulas mengenai PRU15 yang akan diadakan ketika negara berdepan bencana banjir bulan depan, tambah Hamzah lagi, semua anggota keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bersiap sedia berdepan musibah itu.


Sebelum ini, Ahmad Zahid dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung MIC ke-76 menegaskan, PRU15 merupakan ibu segala PRU di negara ini.


Sehubunga itu, penyandang Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Barisan Nasional (BN) perlu menjadi dominan dalam kerajaan yang akan diwujudkan selepas PRU15.


Astro AWANI

bottom of page