top of page
zaman

PRU15: Calon BERSATU Sabah akan guna logo GRS


KOTA KINABALU, 12 Okt – Calon BERSATU Sabah yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan menggunakan simbol Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun menggunakan logo GRS, kemenangan calon itu akan dikira sebagai kemenangan BERSATU kerana ia adalah sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN).


“Itu persefahaman yang sudah dicapai, tiada isu atau masalah dalam soal itu…situasi agak luar biasa sedikit di Sabah yang terbentuk kerajaan negeri hasil persefahaman parti-parti walaupun peringkat Persekutuan tidak sehaluan, di sini keadaan istimewa, kami menerima perbezaan di Sabah,” katanya.


Beliau berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada kebijaksanaan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah, badan kepemimpinan BERSATU negeri serta GRS bagi mencapai kata sepakat yang memberi keuntungan serta faedah kepada rakyat dan parti.


Ditanya mengenai hubungan ‘dingin’ antara PAS dan UMNO, Muhyiddin berkata, PAS adalah parti pengasas PN dan kekal sebagai rakan kongsi penting, terutama ketika menghadapi PRU-15.


“PAS berkali-kali menyatakan mereka akan kekal sebagai rakan kongsi penting PN, itu sudah jelas sekarang dan tiada lagi ketidakpastian…


“Ini akan membuka jalan untuk PN menjadi lebih kuat dan bekerja lebih efektif dalam PRU kali ini,” katanya selepas menghadiri mesyuarat dengan Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah di Pejabat BERSATU Sabah di sini, pada Selasa.


Yang turut hadir, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah.

Comments


bottom of page