top of page
  • admin

PRU15: Calon BN Terengganu bebas rasuah


KUALA TERENGGANU,5 OKT: Barisan Nasional (BN) negeri akan menyerahkan senarai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), minggu depan.\


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Said, berkata senarai calon yang akan bertanding di 32 kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) dan lapan kerusi parlimen akan diserahkan kepada 'Top Five' selepas proses saringan di peringkat negeri selesai dilakukan.


Senarai calon yang akan diserahkan terdiri daripada calon boleh menang, diterima dan disenangi pengundi setempat.


"Ketua bahagian UMNO sudah mengemukakan seramai 200 calon untuk bertanding di 32 kerusi DUN dan lapan kerusi parlimen di negeri ini


"Senarai calon yang dikemukakan kepada UMNO negeri sudah melalui proses undian di peringkat cawangan dan bahagian," katanya dihubungi semalam.


Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua Pengerusi Perhubungan UMNO negeri memberikan senarai nama yang bakal bertanding pada PRU-15 mulai Isnin depan.


Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, berkata senarai calon yang akan diserahkan kepada Top Five adalah bebas daripada jenayah, rasuah serta muflis.


Semua calon yang disenaraikan oleh ketua bahagian UMNO melalui proses saringan ketat termasuk tidak mempunyai saman atas kesalahan lalu lintas.


"UMNO negeri akan serahkan senarai calon yang dipilih di peringkat bahagian selewat-lewatnya Isnin depan," katanya.


Ahmad Zahid dalam sidang media semalam berkata, parti menetapkan tiga kriteria calon iaitu boleh menang, boleh diterima dan disenangi pengundi.


Top Five merujuk Ahmad Zahid, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.


Sinar Harian

bottom of page