top of page
  • zaman

PRU15: Jentera PAS perlu berhemat dan beradab


KUALA LUMPUR,11 OKT: Seluruh jentera pilihan raya PAS dipinta supaya bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan diadakan dalam tempoh terdekat yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebagai sebuah parti politik yang berteraskan Islam, seluruh pimpinan dan ahli serta penyokong parti juga dikehendaki terus menjaga adab dan kesopanan seperti mana yang diajar oleh agama Islam.

“Ini termasuk dalam segala hantaran (posting) mahupun artikel di media sosial yang boleh menimbulkan kebencian dan fitnah memfitnah termasuk terhadap lawan politik wajib dielakkan sama sekali,” ujarnya dalam kenyataan, malam tadi.

Perlu diingat, ujarnya bahawa Perlembagaan PAS menetapkan semua ahli parti antara lainnya perlu sepanjang masa mengamal akhlak Islam serta sentiasa mengawal diri supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan parti.

Menurutnya, perbuatan seumpama itu merupakan suatu kesalahan tatatertib yang boleh diambil tindakan sewajarnya.

Belaiau menambah, PAS juga yakin usaha menjayakan gagasan perpaduan ummah turut akan lebih mudah dicapai apabila semua parti utama Melayu-Islam dan Bumiputera dalam negara ini dapat berlapang dada serta berjiwa besar dalam menghadapi PRU15 ini dengan melihat kepentingan yang lebih besar iaitu kestabilan negara dan kebahagiaan rakyat jelata.

“Dalam hal ini PAS juga berpandangan bahawa konsep dominasi politik oleh golongan majoriti dalam sesebuah negara bukanlah sesuatu yang berbentuk rasis dan tidak adil, sebaliknya ia adalah suatu lumrah penerimaan umum di mana-mana negara di dunia,” ujarnya lagi.

Comentarios


bottom of page