• newsatmy

PRU15: Penyatuan ummah bukan sahaja mampu menang, malah dua pertiga majoriti - Ahmad Amzad


11 April 2021 KUALA TERENGGANU: Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) adalah ujian sebenar bagi melihat sejauh mana keberkesanan Muafakat Nasional (MN) antara Pas dan UMNO, serta usaha penyatuan ummah, kata Datuk Ahmad Amzad Hashim.


Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu, ia adalah puncak kepada segala hasrat asal yang telah diusahakan kedua-dua parti terbesar Melayu itu.


Katanya, penyatuan itu bermula dengan pembentukan MN, sebelum disertai rakan-rakan yang meninggalkan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.


"Tiada siapa boleh menafikan, ketika momentum penyatuan ummah digerakkan semasa 22 bulan kerajaan PH memerintah, yang berada di hadapan ialah Pas, dengan seruan menyatukan orang Islam dan orang Melayu, bersama dengan UMNO.


"Oleh itu, hakikat kepada penyatuan ini perlu diterima oleh semua," katanya ketika berucap pada ceramah ambang Ramadan bertajuk 'Semarak Ramadan Perkasa Perjuangan' di Markaz Tarbiyyah Pas Kuala Terengganu di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Tenaga Dan Inovasi berkata, Pas sentiasa berpegang pada janji dan komited kepada segala yang pernah diputuskan dalam MN.


Ini, katanya, dibuktikan dalam 10 pilihan raya kecil yang dilalui negara setakat ini.

“Sahabat kita, UMNO, selalu berterima kasih kepada Pas. Sebab apa? Sebab kita betul-betul buat kerja. Apabila kita berjanji dan bermuafakat, kita mengotakan janji-janji kita. Kita bantu sungguh-sungguh," katanya.


Ahmad Amzad berkata, jika apa yang dijanjikan dalam MN sebelum ini dilaksanakan oleh kedua-dua belah pihak, bukan sahaja kemenangan, malah kedua-dua parti itu mampu memperolehi majoriti dua pertiga.

"Ini kerana, hasrat kita ialah melihat hasil MN.


"Dan kita bukan sahaja boleh mencapai kemenangan, tetapi kita boleh mendapat majoriti dua pertiga, yang boleh memastikan dasar kita dan hala tuju dilaksanakan sebaik mungkin," katanya.


Kenyataan beliau dibuat ketika UMNO masih bergelut dengan beberapa isu yang gagal ditangani, termasuk terbaharu rakaman audio membabitkan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. -Astro Awani